CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, July 22, 2009

TEKNOLOGI DAN PEMODENAN

Pengenalan
Era globalisasi dunia mencetuskan banyak perubahan dalam menghayati kehidupan selepas arus paskal permodenan. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap nilai, budaya, pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama.
Perubahan dunia masa kini amat pantas hasil ledakan teknologi maklumat. Setiap hari pelbagai hasil ciptaan baru dari inovasi teknologi. Teknologi dan maklumat telah berjaya menghapuskan batasan sempadan sesebuah negara. Malahan ia berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya dan berbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa sekatan dan kawalan. John Naisbitt (1990) meramalkan bahawa salah satu daripada sepuluh kecenderungan manusia di awal abad ke-21 ialah maklumat. Maklumat tersangat berharga dalam dunia globalisasi hingga ia menjadi penentu dan penggerak kepada masa depan.
Teknologi dan Pemodenan (T&P)
Secara umumnya, teknologi boleh ditakrifkan sebagai aplikasi pengetahuan sains yang boleh memberi manfaat dan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi manusia dalam kehidupan seharian, sejarah penggunaan teknologi bermula pada zaman pra-sejarah dimana manusia menjumpai atau mendapat tahu cara menghidupkan api untuk memasak makanan mereka serta kewujudan roda bagi tujuan untuk memudahkan perjalanan mereka. Menurut Mcluhan, perkembangan teknologi telah mengubah dunia contohnya melalui perkembangan seperti kemudahan satelit, beliau berkeyakinan bahawa perkembangan teknologi komunikasi yang pantas akan menyediakan warga dunia dengan maklumat mengenai sesuatu kejadian di dunia dengan pantas, cekap dan tepat.
Ianya diklasifikasikan sebagai perubahan yang berlaku dari suatu masa kepada suatu masa yang lain untuk tujuan penambahbaikan. Ia berupaya untuk melepaskan ataupun menundukkan kuasa yang datang dari masa lampau, perubahan yang berlaku (pemodenan) telah melahirkan kerajaan yang mengamalkan sistem kapitalisme. Secara ringkasnya selepas revolusi Perancis, teknologi dapat dilihat sebagai satu ciri teras budaya pemodenan. Disamping itu budaya modenis dianggap sebagai intipati kemajuan.
Revolusi T&P
Jika kita mengimbau sejarah peradaban manusia, terdapat pelbagai inovasi masa lalu yang menghasilkan pemodenan sama dengan yang kita hadapi masa kini. Kebanyakan pemodenan yang berlaku adalah disebabkan teknologi. Antara inovasi yang dimaksudkan adalah seperti bahasa, penulisan dan percetakan. Jika dilihat dari konteks sejarah, sejarah membuktikan setiap teknologi itu berjaya menghasilkan dan mewujudkan satu bentuk baru dalam institusi masyarakat manusia.
Namun, gagasan dan keagungan sesuatu peradaban itu biasanya dibatasi oleh maklumat daripada sumber fizikal lain. Umpamanya, peradaban seperti Yunani, Mesir dan Mesopotamia mempunyai semua sumber fizikal yang diperlukan untuk mencipta teknologi yang ada sekarang seperti komputer, televisyen, roket dan barangan pengeluaran yang lain tetapi mereka tidak berupaya mencipta teknologi dan barangan itu kerana mereka tidak mempunyai maklumat yang diperlukan. Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa teknologi telah berkembang pada awal peradaban manusia seperti peristiwa revolusi Copercinus dalam astronomi serta revolusi sains lain adalah terhasil daripada teknologi percetakan. Contohnya seperti penghasilan mesin cetak oleh Johann Gutenberg dari Mainz, Jerman pada tahun 1450an yang memberi ruang dalam reformasi bidang astronomi.
Penerimaan Masyarakat Terhadap T&P
Setiap negara yang terdapat di dunia ini sentiasa berlumba – lumba untuk meningkatkan lagi tahap teknologi dan permodenan negara masing – masing. Bagi Malaysia, kita sering berusaha untuk mengarusperdanakan teknologi dan pemodenan dari masa ke semasa. Sekiranya pada zaman dahulu kita dianggap sebagai salah sebuah negara mundur yang tidak mempunyai teknologi, tetapi sekarang kita sudah boleh dikatakan mampu untuk bersaing dengan negara luar dari segi perkembangan teknologi dan pemodenan. Menurut Tun Dr. Mahathir iaitu bapa pemodenan Malaysia, rakyat Malaysia sekarang sudah mampu untuk menghadapi penerimaan teknologi dan pemodenan yang semakin canggih. Masyarakat sekarang ini terutamanya di negara Malaysia mampu untuk menggunakan teknologi dan permodenan yang sedia ada malah kebanyakkannya menggunakannya dalam kehidupan harian mereka. Seperti yang dapat kita lihat, teknologi komunikasi pada masyarakat Malaysia dahulu agak sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain. Tetapi lain halnya pada masa kini dengan perkembangan teknologi komunikasi seperti internet, skype, persidangan video, masyarakat kini pantas untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan ini. Itulah yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir. Teknologi dan Pemodenan boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan dan ianya bergantung kepada masyarakat itu sendiri tentang bagaimana mereka hendak menerima perkembangan yang sedang berlaku pada zaman sekarang.
Pemahaman, Pengetahuan dan Perlaksanaan T&P
Sejauh manakah masyarakat di Malaysia dapat memahami dan tahap pengetahuan meraka terhadap teknologi dan pemodenan di Malaysia?
Dewasa ini, walaupun Malaysia telah mencapai tahap Negara membangun tetapi masih lagi wujud masyarakat pinggiran yang masih lagi ketinggalan dan kurang pendedahan tentang teknologi maklumat. Golongan yang mendominasi teknologi adalah terdiri dari mereka yang mempunyai tahap intelektual tinggi. Antaranya mereka yang dari golongan professional, pelajar, penjawat tinggi dan sebagainya. Golongan urban telah terdedah dengan teknologi sejak dari kecil lagi maka penggunaan teknologi bagi mereka adalah sangat penting dalam aktiviti seharian sehinggakan mereka tidak dapat lari darinya. Dengan penggunaan teknologi, kesenangan dan kelapangan mudah dirasai. Namun berbeza bagi golongan pinggiran di mana mereka sering dieksploitasi oleh keadaan yang menyebabkan mereka makin terpinggir dari teknologi. Apabila teknologi komunikasi wujud kuasa pusat menguasai kesedaran masyarakat pinggiran. Ini sebenarnya, akan menigkatkan jurang diantara masyarakat Bandar dan pinggiran. Untuk meningkatkan kefahaman dan tahap kesedaran tentang kepentingan teknologi dan pemodenan di Malaysia organisasi seperti ekonomi (swasta dan perkhidmatan separuh kerajaan), politik (organisasi pemerintah supra nasional), dan komunikasi (agensi berita) memainkan peranan penting dalam perlaksanaan teknologi dan pemodenan secara meyeluruh.
Antara aspek-aspek yang penting untuk menjayakan teknologi dan pemodenan ialah dari segi memantapkan aspek seperti ekonomi, pembangunan, bahasa, pendidikan, dan lain-lain. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar baru dalam sitem pendidikan iaitu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Dasar yang di lakukan mendapat pelbagai reaksi dari banyak pihak. Ada reaksi positif dan negatif. Walaupun ada usaha-usaha yang giat untuk melaksanakan teknologi dan pemodenan wujud implikasi baik dan buruk terhadap teknologi dan pemodenan di Malaysia. Antara usaha yng boleh dilakukan ialah mengubah minda masyarakat Malaysia dan menerapkan penggunaan teknologi bagi Malaysia mencapai tahap Negara maju dan setiap ahli masyarakat perlu mengambil bahagian dam proses perlaksanaan teknologi dan pemodenan di Malaysia.
Kepesatan Teknologi Di Negara Kita Menjelang Abad Ke 21
Jika dilihat dari konteks Malaysia di bawah pimpinan pemimpin yang berkaliber dan mahukan perlembagaan teknologi. Contohnya dengan penubuhan bandar Cyberjaya, perkembangan dalam industri otomobil, informasi tanpa batasan dan sebagainya. Perkembangan teknologi ini disifatkan sebagai tapak untuk menghadapi alaf 21 nanti. Maka, pemimpin yang karismatik sangat penting dalam usaha membawa kepada perubahan sosial.
Penyerapan Budaya Luar
Budaya merupakan suatu sistem dinamik. Ini adalah kerana manusia selalu diperkenalkan dengan elemen-elemen baru. Namun, perubahan teknologi bergerak dengan lebih cepat berbanding dengan perubahan dalam idea budaya. Ini menyebabkan "cultural late" ketinggalan budaya sekiranya sesiapa yang tidak mengikut gaya hidup masyarakat moden, mereka akan dianggap sedemikian. Contohnya amalan pemakanan makanan segera dari Barat telah sebati dengan kita walaupun ianya tidak sampai 20 tahun di sini. Pendapatan penduduk dan jurang pendapatan negara semakin berbeza. Ini dapat dihuraikan di kalangan komponen masyarakat yang mampu untuk menguasai teknologi akan memperolehinya sementara yang miskin akan terus ketinggalan. Dijangkakan pendapatan negara akan terus meningkat dengan penggunaan teknologi-teknologi yang terkini. Terutamanya di dalam industri automobil. Di mana suatu ketika dulu, Malaysia sendiri tidak menyangka mereka mampu menghasilkan teknologi. Namun, dengan penciptaan Proton Saga dan seterusnya telah membuktikan kemampuan kita. Maka, orang ramai tidak perlu membeli kereta import sama ada mewah atau tidak mewah dari luar lagi. Dengan itu, pengeluaran mata wang ke luar negara juga dapat di kawal sekiranya import dapat dikurangkan.
Wujudnya Maklumat Tanpa Sempadan
Ini dapat dilihat di dalam bidang penyebaran maklumat di mana negara-negara besar seperti Amerika akan dapat menyebarkan dakyah-dakyah atau khabar angin tentang keburukan sebuah negara yang ternyata tidak benar. Di sini, negara yang menguasai teknologi itulah yang mempunyai kuasa besar untuk menyebarkan maklumat-maklumat yang dimilikinya.
Kesimpulan
Daripada apa yang dapat diperhatikan perkembangan teknologi sudah tentu dapat merubah amalan hidup masyarakat Malaysia menjelang abad ke 21. Sesungguhnya teknologi adalah berfaedah namun penyalahgunaannya akan memberi keburukan kepada semua.

No comments:

Post a Comment