CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, August 25, 2009

ALAM SEKITAR


PENGENALAN


Perkataan “alam sekitar” atau dalam bahasa Inggeris disebut “environment” membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan “alam sekitar” adalah menuju kepada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk kepada fenomena fizikal sama ada biotik atau abiotik yang melingkungi suatu organisma. Fenomena fizikal ini termasuk juga fenomena yang berkait dengan iklim dan cuaca. (Mohd Zuhdi Marsuku, 2002)

Terdapat satu lagi definsi alam sekitar. Namun ia lebih kepada kefahaman “environmentalisme“. Dijelaskan bahawa ia merupakan satu istilah geografi tentang doktrin falsafah yang memberikan penekanan terhadap aspek fizikal alam sekitar seperti keadaan iklim dunia yang berkait dengan aktiviti manusia. (A. Bullock & O.Stallybrass, 1997)

Kesemua definisi yang dikemukakan di atas secara umumnya menjelaskan alam sekitar adalah keseluruhan fenomena sekeliling yang boleh mempengaruhi kehidupan sesuatu organisma. Definisi ini adalah definisi yang diterima dalam pengajian Sains Alam Sekitar yang hanya terbatas kepada fenomena fizikal sesuai dengan pandangan semesta moden yang berteraskan kepada metode emperikal. (Mohd Nur Hakimi Razana, 2004)

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN GLOBALISASI KEPADA ALAM SEKITAR

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat. Globalisasi juga dilihat sebagai suatu himpunan proses pengaliran global berbagai-bagai jenis objek yang melibatkan pelbagai bidang aktiviti manusia. Objek yang diglobalisasikan boleh jadi fizikal atau bukan fizikal. Boleh jadi ia dalam bentuk maklumat, idea, nilai, institusi, atau sistem. Himpunan proses pengaliran global ini dan bidang aktiviti manusia yang terlibat kian kait mengait, saling bergantung dan kompleks sifatnya (Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar).
Secara harfiahnya, globalisasi bermaksud sejagat. Ini bermakna bahawa segala aspek kehidupan sama ada dari segi budaya, kesenian, ekonomi, sosial dan sebagainya kini tiada lagi batas sempadan antara satu bangsa, negara atau peradaban. Secara mudahnya, kini tiada lagi unsur pemisah yang ketara antara sesebuah kebudayaan, kesenian, strata sosial antara satu bangsa dengan satu bangsa atau satu negara dengan negara yang lain. Wujud pula satu kampung kesejagatan untuk seluruh dunia. Maka timbullah sikap saling mempengaruhi antara satu budaya dengan budaya yang lain. Pada era ini, penapisan menjadi sesuatu yang amat mustahil.
Menurut Kamus Dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cendekiawan Barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.
Alvin Toffler menerusi bukunya “Third Wave” pula mentafsirkan fenomena globalisasi sebagai suatu gelombang ketiga:
“...Kita sedang berada pada abad di mana berlaku gelombang ketiga. Fenomena paling menonjol yang tengah terjadi pada kurun waktu ini adalah terjadinya proses globalisasi. Perubahan yang demikian menyebabkan terjadinya pula pergeseran kekuasaan dari pusat kekuasaan yang bersumber pada tanah, kemudian kepada kapital atau modal, selanjutnya (dalam gelombang ketiga) kepada penguasaan terhadap informasi (ilmu pengetahuan dan teknologi)…”
Globalisasi pada John Naisbitt menerusi bukunya “Global Paradox” pula melihat kepada sisi yang lebih positif. Menurutnya, kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi telah membuatkan peranan kuasa dan ideologi mengalami fasa surut. Manakala menurutnya lagi, jika dilihat dari sudut ekonomi, semakin besar dan semakin terbuka ekonomi dunia, semakin perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana akan mendominasi pasaran dunia.


Matlamat globalisasi menurut Ahmad Faraj antara lain adalah untuk menjadikan semua aktiviti hidup setiap bangsa di dunia seperti ekonomi, industri, pemikiran, budaya, keilmuan, ciptaan dan penghasilan industri, hak kemanusiaan, alat perhubungan, teknologi maklumat dan sebagainya itu bersifat global dan tidak lagi menjadi ciri kepada mana-mana bangsa atau sejarah mereka, baik yang bersifat agama, keturunan atau budaya.
Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dahulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini.
Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalisasi menjangkau sempadan ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi, politik dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat. Antaranya adalah wujudnya kesedaran mengenai kekangan hidup terutamanya selepas Perang Dunia Kedua yang membawa malapetaka kepada manusia. Penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) misalnya yang bertujuan memelihara kedaulatan dan membela nasib manusia terutama dalam pelbagai isu berkaitan dengan peperangan dan kedamaian, pembangunan dan kemunduran, demokrasi, hak asasi manusia, bencana alam dan sebagainya.
Globalisasi juga mencetus budaya sains dan teknologi maklumat dengan memperlihatkan perkembangan pesat media komunikasi yang menghapuskan jarak dan sempadan yang secara sedar atau tidak telah menularkan agenda pengecilan dunia yang berpunca daripada fenomena ‘world at your finger tip’ atau kesertamertaan media.
Perkembangan dalam bidang ekonomi juga memperlihatkan kepesatan yang mengujakan khususnya perkembangan Syarikat Multinasional Corporation (MNC) yang begitu ketara semenjak akhir 1970-an yang menyaksikan syarikat-syarikat kapitalis besar dunia yang diungguli Amerika Syarikat mengungguli pentas ekonomi dunia.
Dari pandangan politik, dimensi globalisasi telah mewujudkan keadaan penyah-wilayahan; suatu proses yang melintasi sempadan dunia yang dikenali menerusi perwatakannya yang membawa idea demokrasi dan hak asasi manusia yang dianggap sebagai prinsip sarwajagat yang diwajibkan kepada semua umat manusia menerima dan ‘menganutinya’.
Sementara itu, dari segi budaya pula terdapat penyebaran budaya pengguna dari Amerika Syarikat ke seluruh dunia yang disebut sebagai ‘McDonaldisation’ atau budaya McDonald. Fenomena globalisasi yang menyerap masuk telah menolak budaya asal dan mengembangluaskan budaya baru yang biasanya berasal dari budaya bawaan Barat. Perluasan pasaran ekonomi bebas turut sama memesatkan budaya konsumer seperti ini sehingga ia menjadi suatu keadaan normal yang diterima tanpa soal(Ab. Rahman Ismail, 2003).








Antara bentuk dan corak budaya ‘McDonaldisation’ (merujuk kepada golongan remaja khasnya) adalah seperti berikut (www.yadim.com.my):
a) Materialisme
Sikap dan sifat yang mementingkan kebendaan, cuba ditanam dalam diri terutamanya golongan remaja. Mereka cuba dimomokkan dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian mereka. Segala perjalanan hidup mereka penuhi dengan nilai kebendaan semata-mata. Hingga ia melahirkan falsafah, guna segala sumber alam yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalkan kepada genarasi akan datang. Ini kerana segala apa yang kita miliki perlu kita habiskan hari ini juga. Ini juga menyebabkan lahirnya gaya hidup berbelanja segala pendapatan yang diperoleh, tanpa perlu memikirkan keadaan akan datang. Konsep berbelanja denga sederhana serta, menjadi pengguna yang bertanggungjawab tidak wujud di dalam nilai kehidupan materialisme.
b) Hedonistik
Budaya hedonistik merupakan budaya berhibur dan bergembira. Dan bersuka-suka serta menjalani kehidupan yang sebebasnya demi memenuhi nafsu manusia yang tiada batasnya. Ini terangkum dalam peribahasa Barat yang menyatakan “bergembiralah engkau pada hari ini, puaskanlah nafsumu hari ini, kerana esok engkau akan mati”. Budaya hedonistik di kalangan remaja kian mudah dilihat dewasa ini.
Contohnya, hiburan yang dipilih hari ini, sering melangkah batasan norma sosial masyarakat timur. Misalnya, lirik-lirik lagu yang sering didengar kini hanya berkisar kepada persoalan cinta, seks, dan kebebasan tanpa batasan. Secara langsung ia membina norma negatif kehidupan remaja seperti menidakkan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, berhibur hingga melanggar batasan budaya dan sebagainya.
c) Individualistik
Gaya hidup yang mementingkan diri mula menjalar di dalam perasaan, sanubari dan perlakuan remaja hari ini. Remaja hari ini dimomokkan dengan tema kehidupan menafikan keperluan untuk berkongsi kegembiraan, kehidupan, tenaga, ilmu dan kesihatan bersama orang lain. Mereka berpendapat mereka bebas untuk mencemarkan alam sekitar, kerana itu hak mereka. Mereka bebas untuk bersikap tidak sopan seperti pergaulan bebas kerana itu juga hak mereka. Dalam masa yang sama remaja kini tidak lagi mempunyai sikap untuk membantu orang yang lebih tua, membantu ayah ibu, menyelesaikan masalah sahabat dan semangat gotong-royong. Segala nilai murni dalam kehidupan remaja telah dipenuhi dengan gaya penting diri dalam kehidupan moden ini.
d) Westernisasi (pembaratan)
Arus westernisasi mula mengocak dan cuba meruntuhkan segala budaya murni yang dimiliki oleh masyarakat Timur. Arus ini cuba meruntuhkan keyakinan remaja terhadap budaya, bahasa, kepercayaan, gaya dan nilai hidup remaja. Ini jelas dapat dilihat daripada corak pemakaian remaja yang lebih selesa memakai tali leher, berbaju kemeja, berseluar jeans, berseluar pendek, berbaju ketat dan memakai anting-anting bagi lelaki. Mereka sudah tidak yakin untuk memakai baju kebangsaan milik mereka untuk majlis rasmi, malahan dalam kehidupan harian, mereka juga cuba mengelakkan pakaian yang melambangkan mereka. Dalam soalan pemakanan mereka lebih bangga memakan makanan barat seperti KFC, McDonald´s, Pizza Hut sebagai makanan yang melambangkan status mereka. Jika kita menoleh persoalan bahasa pula, remaja hari ini lebih selesa berbual dengan bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa kebangsaan. Sewajarnya remaja harus menyedari segala proses westernisasi ini merupakan proses yang dirangka oleh Barat, demi untuk menjajah setiap ruang kehidupan remaja dewasa ini.
e) Nasionalisme Sempit
Kita saban hari telah diracun oleh semangat perkauman dan cinta kepada bangsa dan negara yang terlalu sempit. Semangat ini disuntik dan ditanam semenjak kita kecil lagi untuk taksub kepada bangsa sendiri dan negara sendiri. Ini menyebabkan kita melebih-kelebihkan bangsa sendiri dan dalam masa yang sama menafikan yang setiap manusia yang diciptakan Allah sama tanpa ada bezanya. Yang membezakan kedudukan sesama manusia hanya iman dan takwa. Kita diberi kefahaman salah iaitu segala yang dilakukan sewajarnya diniatkan untuk bangsa ataupun negara semata-mata. Perkara ini menyebabkan kita tidak mengambil peduli segala kemiskinan, penindasan, penjajahan, ketidak adilan, pengeksploitasian, dan pembunuhan manusia sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa. Ini kerana segala kecintaan kita dicurahkan kepada batasan bangsa dan sempadan negara sehingga menafikan perasaan perikemanusian, keadilan dan keamanan yang melangkaui batasan bangsa dan sempada negara.
Chandra Muzaffar, aktivis hak asasi manusia dan Presiden International Movement for a Just World (JUST) telah menyenaraikan lapan kebaikan globalisasi. Lapan aspek positif itu adalah peranan pelaburan asing (FDI) dalam mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di sebilangan negara; Peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah; Peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan berkat teknologi baru komunikasi dan maklumat; Komunikasi yang lebuh mudah dan juga murah; Peluang yang lebih luas untuk manusia dari berbagai-bagai kumpulan etnik, budaya dan agama berinteraksi, Peluang lebih luas untuk menzahirkan simpati dan rasa keperimanusiaan mereka terhadap mangsa-mangsa pelbagai jenis bencana alam dan tragedi buatan manusia di seluruh dunia; Penonjolan idea-idea dan amalan pemerintahan yang baik seperti pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang dan hak-hak asasi manusia;Penonjolan hak-hak asasi kaum wanita. Walau bagaimanapun, beliau telah mengenalpasti 13 keburukan fenomena globalisasi ini kepada manusia jagat iaitu Kualiti alam sekitar yang semakin merosot sebagai akibat terlalu mementingkan faktor keuntungan; Pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin melebar antara kawasan-kawasan di sesebuah negara dan antara sektor-sektor ekonomi; Pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin di banyak negara terutamanya di negara-negara Selatan; Modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan; Pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatann yang semakin melebar di negara-negara Utara sendiri; Penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat keinsanan manusia; Kecenderungan ke arah pembentukan suatu budaya global yang homogen menerusi peranan yang dimainkan oleh perbadanan transnasional dan media komunikasi global; Penyebaran budaya pop Amerika yang “menyegarkan pancaindera dan mematikan roh”. Kecenderungan pusat-pusat pengajian tinggi untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik dengan mengabaikan kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakat;Pembanjiran maklumat yang tidak berguna;

Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah memanipulasikan isu-isu demokrasi dan hak-hak asasi manusia untuk mendominasi politik dunia; Pengantarabangsaan jenayah yang menyukarkan jenayah dibendung; Pengantarabangsaan penyakit. Dewasa ini, persoalan tentang globalisasi semakin menarik. Globalisasi yang semakin melebarkan ufuk jajahannya ke merata dunia sebenarnya telah lama wujud. Menurut Riggs (1999), proses globalisasi telah wujud sejak 500 tahun yang lalu, namun ia hanya dikenal pasti dengan jelas selepas kejatuhan Soviet Union pada tahun 1991. Kenyataan ini menunjukkan proses globalisasi yang melanda dunia sekarang bukanlah satu proses yang baru berlaku. Lima ratus tahun dahulu globalisasi lebih dikenali sebagai kolonialisasi Barat ke atas negara mundur (membangun) akibat cetusan Revolusi Industri.
“…Apabila pihak Eropah membandingkan peradaban mereka sebagai satu peradaban yang sedang naik dan peradaban diluar Eropah pula dalam keadaan menurun, terjelma pada pihak Eropah wujudnya jurang diantara kedua-dua peradaban ini. Pihak Eropah yang berasaskan semangat progresivisme-ala-Judeo-Kristian berasa bertanggungjawab dan mengambil inisiatif untuk merapatkan jurang tersebut melalui salvatin (God, Goldy and Glory) atau dikenali sebagai imperialisme dan kolonialisme. Usaha ini kemudiannya dikonsepsikan sebagai modeniti...”
Globalisasi dalam era Islam tertonjol dalam empat bidang, iaitu bidang ilmu, bidang ekonomi khususnya perdagangan, bidang agama dan bidang sains dan teknologi.
Ilmu adalah salah satu penggerak utama peradaban Islam. Sikap positif Islam terhadap semua jenis ilmu pengetahuan telah memungkinkan tercetusnya gelombang pertama globalisasi ilmu yang pernah disaksikan oleh dunia. Dalam zaman kemegahannya, institusi ilmu seperti universiti betul-betul telah berperanan sebagai agen globalisasi ilmu dalam pengertian yang difahami hari ini. Pelajar-pelajar bukan Islam dari Cina di sebelah Timur dan dari England sebelah Barat seperti Roger Bacon dari Oxford telah menuntut di pusat-pusat ilmu dunia Islam untuk menimba ilmu pengetahuan (Bakar: ibid).
Islam mempunyai semangat globalisme dan sangat berminat untuk melihat segala persoalan kemanusiaan dari perspektif global. Salah satu sumbangan besar Islam terhadap peradaban dunia ialah semangat globalisme dan kesejagatan yang telah dipupuknya dan ditiupnya ke segenap penjuru dunia. Semangat inilah yang telah memungkinkan Islam menjadi pengasas penulisan sejarah dunia, ilmu perbandingan agama, sosiologi, tradisi sains sejagat, institusi saintifik bertaraf “antarabangsa” dan penggembaraan dunia. Tanpa terasas semua amalan yang berdimensi global ini, sudah pasti kemajuan dunia dan proses globalisasi di zaman-zaman berikutnya lebih perlahan (ibid). Selama empat kurun, iaitu dari kurun kesepuluh hingga ke kurun ke empat belas Masehi, pelayar-pelayar Islam menjadi ‘raja laut’ yang tidak ada tandingan. Kemajuan dalam bidang pelayaran berkait rapat dengan kemajuan komunikasi dan globalisasi perdagangan. Maka bukanlah secara kebetulan sahaja Islam mendominasi perdagangan dan ekonomi dunia. Globalisasi agama turut berlaku dalam globalisasi perdagangan tersebut.
Kesimpulannya, gelombang globalisasi kontemporari adalah yang terbesar dan terkuat pernah melanda dunia. Pengaruhnya sungguh besar dan luas sehingga ia meliputi semua bidang peradaban manusia. Demi menjamin proses pembinaan peradaban di negara ini di atas landasan kerohanian dan moral yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain berterusan tanpa banyak terjejas, kita dipanggil untuk menilai buruk baik fenomena globalisasi ini dengan lebih teliti lagi. Kebaikannya perlu dimakmurkan dan dimanfaatkan oleh rakyat negara ini.Keburukannya perlu dihindari dan diatasi sebaik mungkin.

KEPENTINGAN ALAM SEKITAR & PUNCA-PUNCA

Berita berkaitan pencemaran alam sekitar semakin kerap kita dengar. Majoriti kecewa mendengar cerita kerosakan alam sekitar seperti pembalakan tanpa kawalan, jerebu akibat pembakaran terbuka atau sungai kotor dan tercemar. Kini timbul pula isu air berbau busuk. Setiap kali mendengar berita negatif mengenai alam sekitar membuatkan kita terfikir apakah masyarakat kita terlalu cuai dan mengambil mudah mengenai alam sekitar. Kita juga terfikir berapa ramai rakyat negara ini secara serius mengambil berat isu penjagaan alam sekitar. Apabila sesuatu isu pencemaran atau kerosakan didedahkan, mereka yang secara langsung menerima kesan pencemaran, sudah pasti marah. Kemarahan biasanya disasarkan kepada kerajaan kerana dilihat gagal mengawal atau menguat kuasa peraturan sedia ada.

Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa dan mennyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, ia juga sedikit sebanyak akan menjejaskan aktiviti-aktiviti pembangunan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik. Kepentingan-kepentingannya adalah kesihatan manusia terjamin, tarikan pelancong asing, pembekalan udara yang segar, kosistem yang stabil, habitat hidupan darat dan air terpelihara, mengelakkan kepupusan dan lain-lain.

Kemusnahan alam sekitar diakibatkan oleh pelbagai pihak. Sektor perindustrian dan sektor pertanian yang merupakan sektor terpenting di negara kita turut menyumbang dalam kemusnahan alam sekitar. Selain itu, punca-punca lain adalah penggunaan baja kimia dan secara berlebihan, penebangan pokok-pokok secara berleluasa, pembakaran terbuka, pembebasan gas-gas seperti gas karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain, pengeluaran sisa-sisa bahan toksik yang berbau busuk, pembuangan sisa-sisa toksik dan sebagainya.

KESEIMBANGAN ALAM

Keseimbangan alam bermaksud keadaan di mana interaksi antara organisma atau antara organisma dengan alam sekitar. Keseimbangan ini dapat mengekalkan kehidupan. Untuk mencapai keseimbangan alam, peranan kitar semulajadi amatlah penting. Antara kitar semula jadi tersebut adalah kitar karbon, kitar nitrogen dan kitar air. Kesemua kitar semula jadi itu membolehkan organisma terus hidup dan beranak. Dalam kitar nitrogen, nitrogen digunakan untuk membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Dalam kitar karbon pula, karbon dioksida yang terbebas semasa respirasi (pernafasan) digunakan oleh tumbuhan. Tumbuhan pula mengeluarkan makanan dan sumber oksigen untuk haiwan. Dalam kitar air pula, air tersejat dari proses transpirasi tumbuhan dan respirasi haiwan. Air yang tersejat ini membentuk awan dan turun semula ke bumi sebagai hujan. Selain dari keseimbangan alam, kita juga sering diancam oleh bencana alam. Letupan gunung berapi (volcano), gempa bumi (earth quake), kemarau (drought), Kebakaran hutan (forest fire), banjir (flood) dan taufan (tornado) boleh menyebabkan keseimbangan alam tergugat. Antara kesan bencana alam ini ialah merosakkan habitat (tempat tinggal haiwan), menyebabkan kematian haiwan dan tumbuhan, mengganggu kitar semula jadi dan pencemaran alam sekitar.

MELINDUNGI ALAM SEKITAR

Akibat pencemaran yang teruk, pelbagai isu berkaitan dengan alam sekitar timbul. Antaranya ialah Pemanasan Global (Global Warming) dimana suhu bumi kita meningkat akibat daripada peningkatan gas karbon dioksida diatmosfera. Gas ini memerangkap haba dan menyebabkan suhu di bumi meningkat. Fenomena ini juga dikenali sebagai "Kesan Rumah Hijau" (Green House Effect). Seterusnya, Penipisan Lapisan Ozon (Depletion of Ozone Layer). Gas Klorofluorokarbon (CFC) yang digunakan dalam peti sejuk dan aerosol bertindak balas dengan lapisan ozon dan seterusnya menipiskannya. Penipisan ini menyebabkan sinaran U/V matahari menembusi atmosfera dan menyebabkan penyakit kulit. Kita hendaklah melindungi alam sekitar kita. banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk tujuan ini. Antaranya adalah mencari sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar, mengurangkan pembakaran, menukar CFC kepada HCFC yang lebih selamat, menanam pokok, perhutanan semula(reforestation) dan sebagainya.

PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Kita menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal dan Pencemaran Alam Sekitar mengarahkan penutupan serta merta 16 pusat pelupusan sampah terbuka di tujuh negeri kerana didapati tidak selamat serta boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai dan alam sekitar. Keputusan tegas seperti ini penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan bersedia dan sanggup membuat apa yang perlu untuk menjaga alam sekitar. Kita harap pihak berkuasa akan berjaya mencari penyelesaian terbaik dalam semua isu berkaitan pencemaran dan kerosakan alam sekitar. Alam sekitar akan terus tercemar dan menuju kemusnahan jika manusia tidak mengambil langkah menjaganya dengan baik dan terancang. Masyarakat kita tidak boleh hanya bertanya apakah tindakan kerajaan menjaga alam sekitar. Sudah tiba masa kita bertanya diri sendiri apakah sumbangan kita menjaga alam sekitar. Ada banyak aspek penjagaan alam sekitar perlu diambil kira supaya ia dapat bertahan pada tahap terbaik. Dalam mengejar kemajuan, kita perlu menjaga perseimbangan dalam penggunaan setiap sumber. Bukit bukau, tanah, sungai, laut, udara, semuanya perlu dimanfaatkan tanpa menjejaskan kedudukan mereka. Secara individu, setiap ahli masyarakat boleh menyumbang kepada ketahanan alam sekitar dengan lebih berdisiplin dalam perkara asas menjaga kebersihan iaitu pembuangan sampah dan sisa.

Ramai memandang ringan isu pembuangan sampah dan sisa menyebabkan ia menjadi punca utama pencemaran dan kerosakan alam sekitar. Tingkah laku sebahagian besar masyarakat dalam isu pembuangan sampah dan sisa membenarkan keluhan Perdana Menteri bahawa kita mampu menyediakan prasarana kelas pertama tetapi mempunyai minda kelas ketiga dalam urusan penyelenggaraan. Anehnya, minda kelas ketiga ini tidak semestinya berada pada ahli masyarakat berpendidikan atau berpendapatan rendah. Ada di kalangan kelas menengah dan atas tidak berdisiplin dalam urusan kebersihan. Perhatikan saja bagaimana mereka yang mampu memandu kereta mewah mencampak keluar sampah atau puntung rokok ketika memandu. Ada juga orang sanggup membuang benda besar seperti perabot lama ke dalam sungai. Ini semua mereka lakukan tanpa rasa bersalah. Mengurus sisa dan sampah adalah perkara besar dan perlu diberi perhatian bukan saja oleh individu, tetapi peniaga. Sehubungan itu, setiap organisasi perniagaan perlu mempunyai kesedaran mengenai tanggungjawab sosial mereka berkaitan alam sekitar. Walau apa saja jenis perniagaan, tentu ada sisa dan sampah yang perlu dilupuskan. Perniagaan sektor perkilangan umpamanya mungkin mempunyai sisa memudaratkan kehidupan dalam bentuk gas, cecair atau pepejal.


Perniagaan bidang peruncitan juga mempunyai sisa dan sampah mereka sendiri. Kedai makanan umpamanya mempunyai banyak sisa organik yang boleh menjadi busuk dan menyebarkan kuman dan bakteria jika tidak dilupuskan dengan betul. Bengkel kereta pula mempunyai sisa membabitkan minyak dan perlu dibuang secara betul. Bagi perniagaan yang menghasilkan sisa berbahaya kepada orang ramai, biasanya sudah ada undang-undang dan peraturan mengenai cara pelupusannya. Pelupusan secara teratur sudah tentu membabitkan kos. Malangnya, ada peniaga sanggup membahayakan orang ramai semata-mata kerana hendak menjimatkan kos operasi. Sejak beberapa tahun ini kempen menyedarkan sektor perniagaan mengenai tanggungjawab sosial mereka sudah semakin meluas. Semakin banyak perniagaan, terutamanya syarikat besar dan syarikat antarabangsa, sudah sanggup memperuntukkan perbelanjaan untuk membantu menyelamatkan alam sekitar. Penjagaan alam sekitar boleh dibantu oleh perniagaan bukan saja melalui pelupusan sisa dan sampah secara betul, tetapi dengan meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan untuk memperbaiki proses pengeluaran atau kaedah operasi. Dalam kita bersusah hati mengapa isu pencemaran dan kerosakan alam sekitar masih berterusan walaupun semua orang tahu keburukannya, kita gembira melihat bilangan perniagaan berusaha memainkan peranan dalam penjagaan alam sekitar juga semakin bertambah.

KESAN PENCEMARAN

Selain daripada bencana alam, manusia juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Penggunaan kenderaan dan jentera yang menggunakan bahan api fosil (petrol dan diesel) menyebabkan pencemaran udara yang teruk. Hasil pembakaran bahan api fosil menghasilkan gas beracun seperti karbon monoksida dan sulfur dioksida. Kilang-kilang yang didirikan boleh menghasilkan sisa toksik (beracun) seperti bahan buangan radioaktif dan merkuri. Dalam industri pertanian pula, penggunaan racun yang berleluasa boleh mengancam keselamatan alam sekitar. Insektisid (racun serangga) seperti DDT boleh masuk ke rantai makanan. Sumber makanan seperti daging dan ikan mengandungi DDT yang seterusnya akan di makan oleh manusia. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan punca pencemaran adalah disebabkan oleh aktiviti manusia.

ISU-ISU ALAM SEKITAR

PENCEMARAN & PEMBALAKAN

Isu-isu alam sekitar semakin bertambah dari hari ke hari dan ini dapat kita lihat terpampang di dada-dada akhbar. Di Malaysia khususnya pelbagai masalah telah dihadapi seperti pemusnahan hutan simpan, pembalakan secara tidak terkawal dan juga masalah lain. Namun semua masalah ini dapat di atasi dengan kehadiran teknologi yang semakin berkembang terutamanya dalam aktiviti pembalakan sebagai contohnya pemantauan aktiviti pembalakan menggunakan teknologi remote sensing. . Remote sensing merupakan satu kaedah Pengukuran dan perekodan tenaga elektromagnetik (EMR) yang dibalikkan atau dipancarkan dari permukaan bumi dan atmosfera dengan menggunakan penderia yang dipasang pada pesawat udara atau satelit tanpa membuat sentuhan secara fizikal terhadap objek di permukaan bumi. Pemantauan aktiviti pembalakan menggunakan remote sensing pada masa ini meliputi kawasan yang sedang dijalankan aktiviti pembalakan dan Hutan Simpan Kekal. Pemantauan ini dilaksanakan bagi mengesan sebarang aktiviti pembalakan haram seperti penebangan di luar kawasan lesen. Melalui sistem ini pegawai penguatkuasa Jabatan Perhutanan boleh mencapai maklumat yang diperlukan melalui capaian yang selamat atas talian. Pegawai penguatkuasa di peringkat negeri pula boleh membuat pemeriksaan di lapangan secara berkala, memantau perubahan hutan atau perkembangan aktiviti pembalakan hutan di negeri masing-masing secara lebih efektif dan efisien. Sistem remote sensing yang dibangunkan boleh memantau aktiviti di lapangan dari udara dengan jarak paling dekat setinggi 2.5 meter dan sistem ini merupakan salah satu daripada perancangan yang strategik negara dalam pengurusan sumber alam sekitar. Jadi dengan adanya sistem teknologi remote sensing ini dapat mengurangkan seterusnya mengatasi masalah pembalakan haram di Malaysia ini yang semakin berleluasa.

Isu pencemaran yang merupakan isu global ini perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama di peringkat antarabangsa. Ini adalah kerana masalah pencemaran yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara. Cara kita menyelesaikannya adalah bergantung kepada persepsi kita sendiri terhadap alam sekitar. Unit Pendidikan Persatuan Alam atau Malaysian Nature Society (MNS) sering menerima pernyataan tentang apakah cara-cara memulihara alam sekitar yang sepatutnya dilakukan oleh semua pihak. Contoh pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia ialah pencemaran tanah seperti pemusnahan hutan akibat pembalakan. Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara. Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan satu sumber penting bagi pendapatan matawang asing. Akan tetapi eksploitasi hutan yang melampau utk tujuan pembalakan , pertanian, ternakan dan sebagainya telah mengakibakan pencemaran alam yang sangat dahsyat. Antara peristiwa yang terjadi akibat aktiviti pembalakan haram ini ialah seperti tanah runtuh di Genting Highland dan beberapa lagi peristiwa yang telah mengorbankan banyak nyawa didapati berpunca daripada kealpaan manusia dalam menjaga alam sekitar. Langkah penyelesaian adalah seperti menghadkan pembalakan di buat oleh semua kerajaan negeri dengan mematuhi kuota pembalakan yang ditetapkan dalam usaha memastikan pengurusan dan pembangunan hutan berkekalan. Antaranya ialah menurunkan aktiviti dan kadar pembalakan secara sistematik dari tahun ke tahun. Membentuk pelan penggunaan dan pengeluaran balak yang berkekalan.

PENCEMARAN & BENCANA ALAM

Bencana alam sekitar merupakan masalah global yang dihadapi oleh dunia. Keadaan ini semakin nyata dan terus berleluasa berlaku walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mencegahnya. Hampir semua negara menjadikan isu pencemaran alam sekitar sebagai agenda utama mereka. Kebimbangan di kalangan penduduk dunia semakin ketara. Manusia semakin ketara tanggungjawab mereka terhadap pentingnya menjaga kualiti alam sekitar, keadaan ini semakin teruk dan meningkat setiap tahun. Kemerosotan kualiti alam sekitar meningkat sejak dekad 70an lagi. Ini terbukti pada persidangan pertama dunia yang diadakan di Stockhlom, Sweden.Persidangan ini diadakan khusus bagi membincangkan masalah pencemaran alam sekitar. Persidangan seterusnya diadakan di “Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro yang dianggotai lebih daripada 170 buah Negara dan disertai oleh 2202 pertubuhan alam sekitar. Persidangan ini turut membabitkan seramai 10,250 orang peserta. Bermula dari sini telah diadakan perbincangan khusus mengenai masalah alam sekitar”. Antara jenis-jenis pencemaran ialah pencemaran air iaitu seperti kebocoran dan luahan bahan kimia ke dalam sumber air atau fenomenon eutrofikasi. Pencemaran udara pula ialah pelepasan bahan kimia berbahaya ke dalam atmosfera. Contoh bahan pencemar termasuk karbon monoksida, dioksida, klorofluorkarbon (CFC), dan nitrogen dioksida yang dikeluarkan oleh kenderaan dan kilang. Pencemaran bunyi pula disebabkan hingar jalan raya, pesawat dan industri adalah antara isu yang sering dibangkitkan.

TEKNOLOGI MESRA ALAM…

Teknologi enjin hybrid adalah pilihan sumber bahan api bagi mengurangkan pergantungan kepada petrol dan diesel yang dimana kedua-dua bahan api fosil itu sentias terdedah kepada kenaikan harga.Teknologi enjin hybrid sudah dimajukan oleh beberapa gergasi automotif dunia dan terbukti berhasil melahirkan kenderaan mesra alam. Komponen lain ialah motor elektrik sebagai penjana kuasa,bateri voltan bersaiz kompak yang menyimpan tenaga,manakala transmisi enjin sama dengan kereta konvesional lain. Berbanding enjin kereta konvesional.kadar pelepasan asap iaitu gas karbon monoksida kereta hybrid lebih 80% rendah.
Jika ditinjau situasi semasa,kereta kuasa elektrik terbukti tidak mencemarkan alam sekitar,sebaliknya hanya berupaya bergerak sejauh 80 hingga 161 km sebelum perlu dicaj semula selain kereta itu bergerak perlahan dan kesukaran mencari tempat untuk mencaj semula. Kebanyakan kereta memerlukan enjin bersaiz besar untuk menghasilkan kuasa bagi menggerakkan kereta dengan pantas tetapi penggunaan enjin kecil boleh ditingkatkan dengan menggunakan komponen lebih ringan termasuk mengurangkan jumlah silinder dan memaksimumkan penggunaan enjin. Keberkesanan enjin hybrid bukan saja meningkatkan penjimatan minyak dan berfungsi menyimpan tenaga yang disimpan didalam bateri yang enjin akan dihentikan sementara apabila kenderaan berhenti dilampu isyarat tetapi dibantu kuasa bateri biasa.Kereta hybrid tidak memerlukan kos penjagaan dan penyelenggaraan yang tinggi kerana motor dan bateri kereta itu tidak memerlukan penyelenggaraan dan boleh digunakan sepanjang hayat. Kereta hybrid komersial pertama diatas jalan tempatan ialah Honda civic hybrid 1.3 liter yang telah diperkenalkan dimalaysia menerusia Honda Malaysia.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI

Teknologi yang semakin canggih telah menghasilkan pelbagai produk menyebabkan semakin banyak berlakunya pencemaran. Secara tidak langsung, alam sekitar menjadi mangsa; baik di udara, laut ataupun di darat. Langkah-langkah haruslah diambil untuk 'membersihkan' alam sekitar daripada pencemaran. Langkah-langkah ini dibahagikan kepada empat tahap iaitu peringkat antarabangsa, pemerintah, organisasi dan individu.

Di peringkat antarabangsa, pertubuhan-pertubuhan seperti WHO ( Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Greenpeace telah ditubuhkan. Kedua pertubuhan ini bertindak sebagai pengawas pencemaran. WHO memainkan peranan penting dalam mengawal pencemaran dan berhak menetapkan peraturan mengenai alam sekitar. Greenpeace pula memberi maklumat kepada orang ramai mengenai pencemaran yang terjadi di dunia dan menunjuk perasaan jika berlaku sesuatau pencemaran alam.

Langkah yang kedua iaitu, pihak pemerintah dalam negeri, misalnya Singapura, telah mengadakan berbagai undang-undang dan acara untuk meningkatkan lagi mutu alam sekitar. Undang-undang seperti sesiapa yang membuang sampah merata-rata akan dikenakan denda dan kehendaki membersihkan kawasan dengan diawasi oleh pegawai yang bertugas. Industri-industri yang membuang sampah atau kimia sewenang-wenangnya akan disaman.

Langkah ketiga, organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan syarikat boleh menyumbang kepada kebersihan alam sekitar. Guru-guru sekolah harus menanamkan sikap prihatin kepada alam sekitar melalui pendidikan moral di sekolah serta mengadakan pertandingan antara kelas bagi kelas yang paling bersih agar si anak-anak murid mempunyai sifat tanggungjawab terhadap alam sekitar. Balai rakyat pula boleh mangadakan pertandingan pada blok, kedai makan dan kawasan kejiranan yang terbersih. Kelab remaja boleh mengadakan himpunan untuk mengumpul suratkhabar dari rumah ke rumah dan juga memungut sampah di tepi pantai sambil beriadah. Syarikat harus mempunyai sikap tanggunjawab dalam pembuangan sampah.

Langkah keempat, adalah kita sebagai individu memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang harus diamalkan adalah menggunakan semula barang-barang yang boleh digunakan semula ( reuse), menggunakan barang-barang yang dibuat dari barang-barang yang diproses semula ( recycle) dan mengurangkan penggunaan barang-barang yang tidak diperlukan (reduce). Sikap-sikap sebegini dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Tidak lupa, sikap kesedaran pada diri sendiri harus ada untuk mengelakkan dari dunia terus dicemar.

PEMENANG ANUGERAH MESRA- MALAYSIA

Sebuah badan perakaunan terbesar dunia, Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), sekali lagi mengumumkan pemenang Anugerah MESRA (Malaysia Environmental and Social Reporting Awards) yang mereka anjurkan sejak empat tahun lalu. Kita mengalu-alukan usaha ACCA dengan sokongan Jabatan Alam Sekitar dan Institut Integriti Malaysia memberi galakan kepada organisasi perniagaan di Malaysia meningkatkan usaha melakukan sesuatu untuk kebaikan alam sekitar. Anugerah MESRA ini bertujuan mengiktiraf organisasi perniagaan yang melapor serta memaklumkan prestasi mereka berkaitan tanggungjawab sosial dan penjagaan alam sekitar. Apa yang menarik ialah bilangan syarikat menyertai Anugerah MESRA 2005 ialah 54 berbanding 36 bagi 2004. Penambahan penyertaan dalam Anugerah MESRA setiap tahun membuktikan bahawa bilangan perniagaan yang berusaha melakukan sesuatu untuk kebaikan alam sekitar semakin meningkat. Ia memberi harapan bahawa usahawan dan perniagaan semakin sedar mengenai peranan mereka dalam penjagaan alam sekitar. Organisasi perniagaan tidak harus menunggu arahan pihak berkuasa untuk memainkan peranan mereka dalam isu penjagaan alam sekitar. Mereka perlu sanggup berkorban dan tidak hanya mementingkan keuntungan kerana alam sekitar penting untuk kesejahteraan manusia.


BIBLIOGRAFI

http://www.punb.com.my/index.php?ch=bm_med&pg=bm_med_news&ac=143
http://alamsekitar0.tripod.com/id11.html
http://syafiqe.wordpress.com/2008/10/19/pemeliharaan-dan-pemuliharaan-alam-sekitar-menurut-perspektif-islam/
http://www.oasis4.netfirms.com/b55.html

No comments:

Post a Comment