CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, August 6, 2009

ISU SOSIAL


PENGENALAN

Kita sedia maklum bahawa tugas dan tanggungjawab polis, terutamanya dalam membanteras jenayah dan menjaga keamanan, kini lebih berat dan jauh lebih rumit. Pembangunan negara yang begitu pesat, terutamanya di bandar, menyebabkan jenayah harta benda seperti kes meragut beg, menyamun serta merompak semakin meningkat. Pemodenan dari segi teknologi melahirkan pelbagai jenis jenayah yang tidak pernah terdengar beberapa tahun dahulu. Contohnya, jenayah kolar putih yang melibatkan penyalahgunaan teknologi canggih berkomputer, semakin berleluasa. Gejala sosial semakin teruk jika dibandingkan masa dahulu. Kegiatan kong-kongsi gelap, samseng sekolah, kutu rayau, pengedaran dadah dan maksiat, serta keganasan rumahtangga, semakin membimbangkan. Ini semua menjadi cabaran harian kepada pihak polis.

PELAYARAN WEB NEGATIF

Minat dan kesukaan melawati laman-laman web yang tidak bermoral dan tidak berfaedah memberi kesan negatif dalam perkembangan minda dan fizikal manusia. Ketagihan terhadap laman web negatif mencetuskan kerosakan maruah, nilai keperibadian, dorongan terhadap jenayah seksualiti, masalah perundangan, perhubungan interpersonal dan pembaziran wang serta masa. Kewujudan laman web lucah yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja termasuk anak-anak sekolah, remaja dan golongan dewasa memberi kesan negatif terhadap perubahan nilai dan gaya hidup mereka. Larangan agama terhadap perlakuan yang boleh menghampiri zina tidak mampu menyekat remaja dan golongan dewasa daripada menghindari perbuatan tercela. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud “Jangan kamu hampiri perbuatan Zina kerana ia adalah amalan yang sangat keji ‘.

Ketagihan internet ini tertumpu kepada cybersex addiction dan comulsive gambling. Material berkaitan sex begitu mudah dan tersiar di internet dengan pelbagai dimensi dan ilustrasi pornograksi dan chatroom yang membicarakan unsur-unsur seksual. Kewujudan berbagai bentuk laman web negatif telah mencabar nilai dan gaya hidup insaniah sebagaimana yang diajar oleh Islam. Pendidikan Islam jelas mencegah umat dari terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. Pendidikan akhlak menurut Islam ialah pembentukan jiwa dan peribadi muslim yang mampu menjaga dan menjauhi amalan-amalan buruk termasuk melayari laman web lucah. Impak kepada gejala ini maka merebaklah bermacam penyakit sosial akibat ketagihan seks seperti perzinaan, pelacuran, penularan HIV/AIDS, Homoseksual dan Lesbian, penyakit kelamin, curang dalam hubungan dan melakukan seks sebelum kahwin di kalangan remaja.

Menurut laporan akhbar dan kajian oleh penyelidik Universiti Malaya pada tahun 2005, ramai remaja sudah melakukan hubungan seks dalam menjalinkan perhubungan mereka. Malahan ada yang merakamkan untuk simpanan peribadi dan disebar untuk umum melalui internet dan telefon peribadi menggunakan teknologi 3G. Berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Universiti Malaya dan sebuah syarikat swasta5 pada tahun lalu mendapati 13 peratus remaja berusia 15 hingga 21 tahun pernah mengadakan hubungan seks sebelum. Kajian itu mendapati 76 peratus daripada respondennya remaja lelaki manakala 61 peratus membabitkan remaja perempuan. Dalam kajian lain Kementerian Kesihatan terhadap remaja bersekolah berumur 13 hingga 18 tahun mendapati 1.8 peratus daripadanya mengaku pernah terbabit dalam aktiviti seks.Walaupun isu seks bebas remaja membabitkan kedua-dua jantina lelaki dan perempuan, permasalah lebih besar sering melingkungi kaum hawa.

PERMASALAHAN REMAJA

Minat remaja terhadap ICT terutama teknologi internet dan alat komunikasi mendorong mereka menghabiskan masa di cyber café ,internet café dan telefon tangan. Program seperti chatting, permainan video, sms, mms, 3G dan berbagai aktiviti melaluinya membawa kesan dan cabaran tersendiri. Kegilaan anak remaja ini memberi cabaran kepada ibubapa mereka. Ramai pelajar yang ponteng sekolah, menyalahgunakan wang saku, meminjam wang teman bahkan ada yang sanggup menipu dan mencuri. Setiap ibubapa adalah pemimpin kepada anak-anak mereka. Menurut ajaran Islam setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap pengikut mereka. Kawalan dan penjagaan yang berterusan perlu bagi menjamin anak-anak tidak terlibat dalam kancah gejala sosial. Hal ini mencabar pengurusan sekolah, pihak berkuasa dan orang ramai terhadap masalah pelajar yang mengunjungi pusat internet di waktu persekolahan dan selepas persekolahan. Kesannya ialah pembaziran masa kerana terlalu lama di cyber café, tidak ada kawalan keluarga dan berkembangbiaknya masalah serta gejala sosial di kalangan remaja. Hal ini menyebabkan kerajaan terpaksa bertindak mengawal aktiviti kunjungan remaja ke pusatpusat internet. Prosiding Seminar Kebangsaan E-Komuniti 2005. UKM 6-7 Disember 2005. Putrajaya. Pusat Kajian E-Komuniti. FSSK-UKM.

JENAYAH INTERNET

Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Namun kesemua peringkat penggunaan komputer seperti internet adalah sentiasa berhadapan dengan aktiviti jenayah. Sama ada sebagai mangsa kepada jenayah atau peralatan bagi jenayah atau kedua-duanya. Operasi input, pemprosesan data, operasi output dan komunikasi data telah digunakan dengan teliti untuk tujuan yang tidak sihat. Jenis jenayah internet yang biasa kita dengar adalah seperti penggodam. Penggodam ialah seorang yang mencipta dan mengubah suai perisian dan perkakasan komputer, termasuklah pengaturcaraan komputer, pentadbiran, dan urusan-yang berkaitan dengan keselamatan. Dalam pengaturcaraan komputer, penggodam ialah seorang pengaturcara yang menggodam atau mencapai matlamat dengan menggunakan satu siri pengubahsuaian untuk mengeksploit atau melanjutkan kod atau sumber melalui internet.

Jenayah Internet juga boleh dikategorikan sebagai boleh memalukan sesetengah orang, contohnya seperti seseorang itu menyebarkan tentang sesuatu perkara yang boleh memalukan sesetengah pihak. Jika penggunaan web atau internet disalah gunakan maka akan menimbulkan banyak kerugian kepada golongan manusia. Penggunaan teknologi informasi yang diaplikasikan dengan internet atau pun web dalam segala bidang seperti e-banking, e-commerce, e-government, e-education dan banyak lagi telah menjadi sesuatu yang lumrah. Internet telah menciptakan dunia baru yang dinamakan cyberspace iaitu sebuah dunia komunuikasi berlandaskan computer yang menawarkan perkhidmatan yang baru berbentuk virtual (tidak langsung dan tidak nyata).

Perkembangan internet yang semakin hari semakin meningkat baik teknologi dan penggunaanya dan mempunyai banyak kesan positif dan negatif. Untuk yang bersifat positif, banyak manfaat dan kemudahan yang didapat dari teknologi ini, misalnya kita dapat melakukan transaksi dengan e-banking, e-commerce juga membuat kita mudah melakukan pembelian maupun penjualan suatu barang tanpa mengenal tempat. Mencari referensi atau informasi mengenai ilmu pengetahuan juga bukan hal yang sulit dengan adanya e-library dan banyak lagi kemudahan yang didapatkan dengan perkembangan Internet. Tentunya, tidak mungkin akan terpingir bahawa teknologi Internet membawa kesan negatif yang ada. Internet atau pun web juga membawa keburukan yang bersifat konvensional seperti pengancaman, pencurian dan penipuan kini dapat dilakukan dengan menggunakan media komputer secara online dengan resiko tertangkap yang sangat kecil oleh individu ataupun kelompok dengan akibat kerugian yang lebih besar. Seperti seorang penggodam dapat masuk ke dalam suatu sistem jaringan perbankan untuk mencuri informasi E-commerce ada baik buruknya, seperti yang dilakukan oleh sekelompok pemuda di Medan yang memasang iklan di salah satu website terkenal “Yahoo” dengan seolah-olah menjual kereta mewah Ferrary dan Lamborghini dengan harga murah sehingga menarik minat seorang pembeli dari Kuwait. Perbuatan tersebut dapat dilakukan tanpa adanya hubungan terlebih dahulu antara penjual dan pembeli.

HAK PERIBADI

Kepelbagaian teknologi komunikasi, daripada asas hinggalah paling canggih kini menjadi keperluan hidup. Mengapa tidak, banyak urusan harian boleh dilakukan dengan mudah hasil kepesatan teknologi. Namun, tidak semua individu menjadi pengguna teknologi mengikut kaedah atau cara betul. Tidak dinafikan, segelintir pihak menyalahgunakan telefon bimbit dan laman sosial di internet untuk menganiaya atau menceroboh hak peribadi orang lain dengan menipu, mengganggu, menuduh dan menabur fitnah. Selain faktor pengguna sendiri yang menyeleweng, gejala negatif berhubung penyalahgunaan teknologi ini boleh berpunca daripada kealpaan sesetengah pihak terhadap implikasi buruk andai tidak berhati-hati menggunakan teknologi.Apabila pengguna tidak menyedari etika, batasan dan risiko penggunaan teknologi komunikasi yang digunakan, tidak mustahil mereka sendiri akan terdedah dengan risiko menjadi pihak dianiaya atau terjebak dalam kes penyalahgunaan teknologi.

Di Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjadi badan yang mempunyai kuasa serta bertanggungjawab dalam bidang kawalan industri teknologi dan multimedia.Berteraskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SKMM bertanggungjawab melaksana dan mempromosikan dasar kerajaan dalam sektor komunikasi dan multimedia. Suruhanjaya ini berperanan mewujudkan rangka kerja kawalan baru terhadap setiap cabang industri ini.Sejak akhir-akhir ini, budaya menyebar khidmat pesanan multimedia (MMS) baik dalam bentuk paparan gambar atau video dilihat makin menjadi-jadi. Kita bimbang senario ini memberi kesan kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan kegiatan tidak sihat.Penyedia perkhidmatan sentiasa digalak memperkenalkan teknologi baru. Ini termasuk perkhidmatan MMS yang membolehkan pengguna menghantar dan menerima gambar serta video ringkas menerusi perkhidmatan jalur lebar. Penggunaan teknologi komunikasi yang canggih semakin berkembang dari semasa ke semasa. Teknologi ini adalah neutral. Baik atau buruknya bergantung kepada cara ia digunakan.Kita perlu meletakkan teknologi komunikasi dalam perspektif yang betul.

Ia sememangnya satu peralatan tapi ia mempunyai pelbagai tujuan penggunaan. Kalau baik tujuannya, maka baiklah peralatan komunikasi itu. Jika buruk, maka buruklah ia.Dalam konteks evolusi komunikasi kini, kesan penggunaan telefon bimbit bagi tujuan menghantar MMS bergantung kepada pengguna. Jika MMS yang dihantar adalah gambar atau video yang tidak baik atau memalukan, yang patut dipersalahkan adalah pengguna, bukannya telefon bimbit atau teknologi berkenaan. Perlu diingatkan, setiap kesalahan membabitkan teknologi komunikasi pada ruang dunia elektronik atau internet adalah seperti kesalahan yang dilakukan di dunia nyata. Pesalah boleh didakwa atau dibawa ke mahkamah jenayah atau sivil. Contohnya, penyebaran atau penjualan MMS yang tidak baik mungkin boleh dikategorikan sebagai jenayah dan boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan atau Akta berkaitan seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kemudahan mengakses Internet secara global dan pertambahan jumlah pengguna Internet setiap hari membuka ruang komunikasi tanpa sempadan dan kemudahan berkongsi apa juga bentuk fail. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia turut menerima perkembangan rangkaian teknologi digital dan platform media baru. Sayangnya, kurang kajian tempatan yang dilakukan untuk mengkaji subjek media baru ini. Sebenarnya, di kebanyakan laman sosial, ada kaedah mengawal maklumat peribadi. Pengguna diingat menggunakan kaedah kawalan ini supaya mereka dapat mengawal siapa antara rakan mereka yang boleh melihat maklumat peribadi di laman terbabit. Usah salahkan orang lain kalau pengguna sendiri tidak melakukan kawalan. Peruntukan undang-undang sedia ada dan kod etika yang dibangunkan adalah mencukupi untuk menangani isu ini. Forum Pengguna atau CFM (Communications and Multimedia Consumer Forum) dan Forum Kandungan atau CMCF (Communications and Multimedia Content Forum) memainkan peranan penting dalam membantu memupuk sikap kawal selia kendiri di kalangan rakyat.

Selain itu, beberapa program kesedaran awam dianjurkan. Kedua-dua forum ini menyediakan saluran untuk aduan; mengendalikan pertikaian dan rungutan pengguna; mencadangkan tatacara penyelesaian pertikaian alternatif dan mengelakkan kes mahkamah jika anda rasa terpedaya dan mungkin juga boleh membantu mencadangkan tatacara pembayaran pampasan untuk pengguna.Dalam persekitaran pelbagai sumber dan media kandungan baru serta aplikasi yang diperkenalkan pemberi perkhidmatan, kawalan kendiri adalah satu pendekatan yang difikirkan sesuai dalam konteks ini. Antara asas penting untuk menjayakan kawalan kendiri adalah pengetahuan dan maklumat di kalangan pengguna mengenai cara berinteraksi dengan teknologi dan perkhidmatan yang disediakan serta hak dan tanggungjawab mereka. Pengguna tidak seharusnya memikirkan mereka boleh berbuat sesuka hati tanpa batasan atau tanggungjawab. Mereka perlu sensitif kepada sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum serta peruntukan undang-undang yang sedia ada. Kawalan kendiri dan pelaksanaan tanggungjawab di kalangan semua peringkat masyarakat adalah pendekatan paling sesuai untuk mewujudkan budaya sihat dan positif dalam penggunaan media dan teknologi.

LONGGOKAN SIARAN BARAT

Kesan-kesan negatif daripada pengaruh dunia tanpa sempadan begitu dirasai dengan kewujudan siaran televisyen berbayar daripada luar negara. Anak muda kita hari ini seolah-olah telah hilang jati diri budaya sendiri dan lebih berbangga dengan budaya luar. Setiap hari kini kita sering dilemparkan dengan nilai-nilai budaya luar dengan penyiaran rancangan drama, filem dan muzik terutamanya daripada Negara barat. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapanya pada 2 Ogos 2005, stesen TV mesti mengambil kira hasrat kita untuk membina negara dan bangsa sesuai dengan cita rasa kita, yang mengikut kehendak dan acuan kita sendiri. Pada pendapat kami, nilai jati diri yang kuat boleh dipupuk kepada generasi muda masa kini dengan menggunakan cara yang sama seperti oleh pengaruh luar yang mudah meresap masuk kepada mereka iaitu melalui siaran televisyen. Ini kerana, melalui siaran TV jugalah semua nilai-nilai positif boleh disemai. Semua itu sebenarnya boleh dipupuk dengan penyiaran semula khazanah budaya dan hiburan yang pernah disiarkan di Negara ini. Penyiaran semula khazanah seni negara meliputi siaran drama, rancangan hiburan, rancangan budaya, filem dan dokumentari yang pernah diterbitkan oleh RTM. Maka itu memerlukan satu stesen TV yang mengkhususkan kepada penyiaran bahan tersebut di mana melakukan penyiaran berkala konsisten.

KEHIDUPAN SOSIAL REMAJA

Secara umumnya masalah sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara. Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan seorang kanak-kanak adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan.

Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak. Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal. Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah.

PUNCA KERUNTUHAN AKHLAK

Daripada data dan statistik yang dibentangkan, terbukti keruntuhan ahklak di kalangan remaja masih pada tahap yang tinggi. Keruntuhan ahklak ini dapat dilihat dari pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik. Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga.

Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa. Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Sikap ibu bapa juga yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.

Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral. Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa. Selain itu, pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini.

Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas. Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.

CARA MENGATASI MASALAH

Perbincangan mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja ini. Berikut beberapa saranan yang diberi iaitu peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik.

Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak. Pendekatan akademik boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.

Selain itu, mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin. Saranan seterusnya ialah penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif.

KESIMPULAN

Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.

No comments:

Post a Comment