CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, August 12, 2009

TEKNOLOGI PERUBATAN DAN KESIHATAN


PENGENALAN


Teknologi dalam bidang perubatan telah pesat berkembang dan telah memberikan sinar dan harapan kepada jutaan pesakit yang menderita. Teknologi-teknologi baru dan terkini dalam bidang perubatan seperti teknologi MRI, Computer Tomography, Mata Bionik, Teknologi Llizarov serta implikasi-implikasi yang terlibat samada dari aspek positif mahupun negatif. Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Teknologi moden membawa begitu banyak manfaat kepada pengguna. Dalam konteks bidang perubatan, teknologi mampu memberi rawatan yang lebih efektif dan cekap kepada para pesakit. Pesakit-pesakit yang serius seperti Tubercolosis, Polio, Leprosy dan lain-lain dapat diubati dengan perkembangan teknologi. Seiring dengan perkembangan teknologi, sesetengah pesakit kancer dapat juga dapat diubati contohnya dengan melalui sesi kemoterapi yang ternyata menggunakan teknologi moden.

KEMAJUAN TEKNOLOGI RADIOLOGI DI MALAYSIA

Teknologi dalam bidang perubatan memerlukan penyelidikan demi penyelidikan agar dapat memenuhi keperluan semasa yang menuntut kecekapan dan kepantasan untuk menyelamatkan nyawa atau membongkar segala rahsia disebalik sesuatu penyakit bagi mendapatkan penawar. Antara kemajuan teknologi yang telah banyak membantu dalam bidang perubatan ialah teknologi radiologi. Pada tahun 1895 di Wuzburg, Jerman, seorang sainstis yang bernama Prof. Wilhelm Conrad Roentgen, ketika melakukan kajiannya dengan menggunakan Hittorf-Crookes telah menemui sejenis sinar yang dinamakan sinar-x dan radiografi pertama di Malaysia telah dihasilkan di Taiping, Perak, selepas setahun tiga bulan penemuannya. Radiografi itu dihasilkan oleh Wray. Peralatan ini adalah yang pertama di Asia Tenggara maka perkembangan ini amat membanggakan rakyat Malaysia, tetapi imej pertamanya ialah seekor ikan bawal dan tidak ada kaitan langsung dengan pesakit mahupun bidang perubatan. Apa yang menakjubkan ialah pengimejan diagnosis telah wujud di negara kita walaupun rakyat negara ini belum mengenal lampu jalan apatah lagi kuasa hidroelektrik. Kemudian bersempena dengan Jubli Intan Queen Victoria, sebuah sistem pengimejan diagnosis yang lengkap telah didermakan kepada Hospital Ipoh, Perak pada 1897. Manakala Hospital Besar Kuala Lumpur hanya mempunyai alat pengimejan diagnosis pada tahun 1910 begitu juga dengan Hospital Besar Pulau Pinang.

Perkembangan teknologi pengimejan di negara kita boleh dikatakan agak perlahan dan digunakan hanya sebagai alat bantu dan proses diagnosis bagi pelbagai rawatan perubatan. Bagaimanapun, kini perkembangan bidang ini amat memberangsangkan dan kita berdepan dengan perubahan teknologi mendadak yang turut mengubah gaya hidup manusia. Keadaan ini semakin cepat dalam tempoh 10 tahun akan datang. Dalam masa sama, dianggarkan penyakit gaya hidup mewah akan meningkat 50 peratus dikalangan penduduk negara membangun. Ini disebabkan kebanyakan negara membangun di rantau ini tidak memberi tumpuan khusus dalam menangani masalah kesihatan. Oleh hal yang demikian itu, kemajuan teknologi dalam pengimejan perubatan dapat memberi sumbangan besar kepada pengurusan pesakit.

Dalam abad ke-21 ini, sememangnya perkembangan pesat berlaku dalam teknologi inovasi termasuk pengimejan utiliti perubatan dan terapi. Ini merupakan hasil kerjasama yang membabitkan ahli perubatan, ahli fizik, jurutera perubatan dan saintis komputer. Kini dunia pengimejan melangkah ke satu era yang dinamakan pengimejan molekul. Kaedah ini menggunakan tumor khas atau penghasil gen sebagai alat untuk mengesan penyakit dan mengenalpasti rawatan yang diperlukan. Pengimejan memberi sumbangan yang amat penting dalam bidang perubatan. Pengamal perubatan di negara kita berupaya mengenal pasti masalah biologi yang sebelum ini tidak dapat diselesaikan. Dalam tahun 2020 dianggarkan 6.6 peratus populasi terdiri daripada warga tua jika dibandingkan 2.3 peratus sekarang. Hal ini disebabkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik, pengambilan nutrisi yang lebih elok dan persekitaran yang terjaga membuatkan rakyat Malaysia mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

H1N1 MERUPAKAN VIRUS YANG PINTAR

PAKAR virologi Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Suri Arshad, 46, telah lebih 20 tahun terlibat dengan pengkajian virus penyakit pada haiwan terutama ayam dan arnab. Jadi, apabila wabak influenza A (H1N1) melanda dunia kini, beliau sudah menjangkakan keadaan itu. Wabak ini pada mulanya dikatakan berpunca daripada babi di Mexico. Selepas merebak ke 34 buah negara dan mencatatkan hampir 7,300 kes termasuk 65 kematian, H1N1 dikesan di Malaysia minggu ini. Mangsa pertama itu dipercayai seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New York, Amerika Syarikat. Mangsa ditempatkan di Hospital Sungai Buloh sejak dan keadaannya dilaporkan stabil. Menurut Siti Suri, pengkajian beliau khusus kepada virus yang menyebabkan kematian, mencacatkan pertumbuhan serta mencari vaksin penawar bagi haiwan terbabit. Namun beliau sangat khuatir wabak penyakit yang disebabkan oleh virus. "Virus ialah organisma yang bergantung kepada perumah untuk terus hidup. "Malah sekarang terdapat 80 famili virus dengan 5,000 jenis. Banyak lagi masih belum dikesan terutama disebabkan influenza yang mampu menyebarkan penyakit kepada manusia," ujarnya. Sifat virus yang sering berubah-ubah telah menyukarkan pencarian vaksin kepada wabak yang melanda. Kerana itulah ada orang menganggap virus kini 'lebih pintar' malah boleh melepasi pemeriksaan ketat di lapangan terbang! Bagaimanapun, kemajuan dalam bidang perubatan moden memudahkan pengkaji perubatan mengenal pasti virus dengan lebih cepat. "Mengesan virus secara konvensional mengambil masa selama sebulan tetapi kini dalam masa dua hingga tiga jam sahaja. Kaedah lama ialah percambahan virus dalam sel hidup (tisu kultura atau dari telur). "Kini ujian pantas kaedah reaksi perubahan polineras masa sebenar (PCR) memudahkan kita melihat reaksi tisu sampel serta kehadiran virus berdasarkan graf komputer. "Jika graf naik, ia menunjukkan ada virus dikesan dan begitulah sebaliknya," katanya. Siti Suri menambah, terdapat beberapa kaedah lain untuk mengenal pasti virus iaitu antigen (virus itu sendiri) dan kaedah morfologi menggunakan mikroskop elektron. Beliau tidak menolak haiwan liar dan serangga berupaya membawa mikroorganisma berbahaya kepada manusia. "Pembukaan hutan untuk industri, perumahan dan perladangan mendedah manusia kepada hidupan liar. "Patogen yang ada di dalam badan haiwan boleh menyebabkan penyakit pada manusia. "Sebagai contoh, Virus Nipah yang berasal daripada kelawar menyebabkan penyakit pada manusia melalui perantaraan babi dan juga mereka yang terlibat dengan babi itu sendiri. "Faktor demografi haiwan dan manusia, perubahan cuaca, patogen yang berubah-ubah dan perubahan dalam amalan perladangan turut membawa kepada penyakit ini," ujarnya. Beliau memberitahu, kumpulan subviral yang lebih ringkas daripada virus juga berbahaya. Agen subviral hanya mempunyai sama ada asid nukleik atau protein. "Agen subviral ini boleh menyebabkan penyakit lembu gila. Manusia yang memakan daging lembu tercemar boleh mengalami kerosakan pada sel otak dan mengakibatkan gangguan saraf yang teruk," katanya.



Kebaikan virus
Virus juga mempunyai kebaikan kepada manusia. "Bacteriophage (virus yang membunuh bakteria) digunakan sebagai vektor untuk terapi gen bagi penyakit Parkinson. "Virus tidak merosakkan sel tetapi terus membiak bersama dengan gen perumah. Ia menukarkan gen virus berbahaya menyebabkan gen cacat pesakit diperbetulkan," ujar Siti Suri. Katanya lagi, virus Vesicular stomatitis (VSV) pula boleh digunakan untuk merawat kanser yang dimasukkan ke dalam sel darah putih jenis Tsel yang bertindak sebagai 'pemburu kanser'. "Ia berperanan menjejak dan membunuh sel barah dalam nodus limpa, hati, dan limpa tanpa menjejaskan sel normal spleen," katanya. Prof. C.T Tan, 55, pakar perubatan dari Universiti Malaya yang mempunyai pengkhususan dalam kajian otak manusia adalah seorang lagi 'pemburu virus' yang aktif di negara ini. Beliau ialah salah seorang daripada kumpulan saintis perubatan Universiti Malaya (UM) yang mengenal pasti virus Nipah. "Bayangkan anda menyelamatkan ratusan nyawa manusia apabila satu wabak melanda pada September 1998 dan Jun 1999 di kawasan penternakan babi di Perak, Negeri Sembilan serta Selangor. "Sebanyak 265 orang individu dijangkiti dan mengakibatkan 105 kematian. Jika kita tidak mengenal pasti dengan cepat mungkin wabak ini akan mengakibatkan jumlah kematian yang lebih besar. "Malah ramai menyangka wabak ini disebabkan oleh Japanese Ensefalitis (JE) tetapi punca sebenarnya ialah virus Nipah bawaan kelawar yang terus menyerang otak manusia. "Mangsa akan mengalami sakit kepala yang teruk, sawan, loya dan demam panas," katanya. Untuk mengenal pasti penyakit seseorang, kaedah Pengimejan Resonan Magnetik digunakan untuk mengesan bahagian otak pesakit yang terjejas. Kemudian ujian serologi iaitu kajian tentang serum darah dan juzuk-juzuk khususnya sumbangan kepada perlindungan tubuh menentang penyakit dilakukan. Ini untuk mengenal pasti antibodi yang menentang virus serta menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti virus atau tidak. "Namun saya begitu khuatir dengan penyebaran wabak disebabkan oleh virus selesema yang menyebabkan banyak kematian dan memberi kesan ekonomi yang teruk. "Bayangkan kesan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berlaku di Asia dahulu apabila tersebar ia kepada manusia," ujar Tan.












Kuasa membunuh yang menakutkan

Bagi pakar virologi terkenal dan juga bekas pengarah Pusat Influenza Kebangsaan (Malaysia) WHO, Prof. Emeritus Datuk Dr. Lam Sai Kit, 66, minatnya untuk mengkaji virus tercetus apabila mendapati virus berbeza daripada bakteria dan mempunyai kuasa membunuh yang menakutkan. "Malah kesukaran mencari penawar virus menyebabkan saya menyambung pengajian di universiti di Australia dengan mengutip pengalaman daripada pakar virologi terkenal di sana. "Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah semasa menyiapkan projek sarjana. Bagi melaksanakan tugasan itu saya dihantar ke sebuah kawasan hutan di Papua New Guinea untuk mengkaji virus baru di kalangan haiwan liar. "Bayangkan di hutan tebal kita tidak biasa dengan persekitarannya. Namun apabila Universiti Malaya membuka Fakulti Perubatan saya ditawarkan menjadi pakar virologi," katanya kepada Jurnal. Dr. Lam memberitahu, beliau suka mencabar diri mengenal pasti virus yang menyebabkan penyakit kepada pesakitnya. "Beribu-ribu ujian dilakukan seperti wabak denggi EV71 encephalitis yang bermula di Malaysia Timur pada 1997, Chikungunya pada 1998 dan virus Nipah pada 1999. "Malah kita berbangga kerana penyelidik negara kita sendiri yang menemui Virus Nipah serta membantu negara lain seperti Bangladesh yang sedang menghadapi wabak itu kini," katanya. Namun Dr. Lam melahirkan kebimbangan tidak ramai saintis perubatan yang minat mengkaji virus. "Virus sendiri banyak merebak contohnya virus H1N1. Baru kita mencari vaksin bagi virus selesema burung yang baru pula timbul. Malah tiada vaksin ditemui bagi kes demam denggi selain vaksin HIV. "Realitinya penyakit mampu merebak dengan pantas dan kini satu kes H1N1 dikesan di Malaysia. "Kerana itu perlunya kajian berterusan dan melahirkan ramai lagi pakar virus untuk kebaikan sejagat," katanya.

ADAKAH TEKNOLOGI PERUBATAN MENGALAMI PERUBAHAN????
(DULU DAN KINI)




Pada zaman dahulu bidang perubatan lebih tertumpu kepada cara-cara Islam ataupun tradisional. Namun, segalanya telah berubah akibat daripada perkembangan teknologi yang pesat. Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Secara generalnya, teknologi pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Justeru, daripada perspektif perubatan saintis dan pakar-pakar inovasi telah memainkan peranan dalam memperkasakan bidang ini dengan mencipta pelbagai alat teknologi moden yang canggih. Kini terdapat pelbagai kemudahan teknologi yang dapat membantu para doktor dalam memberi rawatan kepada pesakit serta pesakit juga dapat membuat pilihan mengenai rawatan yang akan mereka jalani. Contohnya seperti MRI atau Magnetic Resonance Imaging yang merupakan kaedah penghasilan imej organ dalaman organisma hidup melalui penggunaan daya magnet yang kuat mengelilingi anggota badan. Selain digunakan untuk mengesan jumlah kandungan air, teknologi ini juga diaplikasikan untuk mengenalpasti perubahan psikologi dalam tisu hidup. MRI tidak mendedahkan pesakitnya kepada sebarang bentuk radiasi kerana proses tersebut tidak menggunakan x-ray. Antara kelebihan menggunakan MRI ialah ia digunakan untuk membezakan tisu patologi seperti tumor otak dan juga tisu normal.

Mata Bionik juga merupakan salah satu teknologi yang berkaitan dengan bidang perubatan. Teknologi mata bionik merupakan harapan baru untuk golongan buta. Sekumpulan saintis dari Universiti Johns Hopkin dan beberapa di tempat lain telah menggunakan silikon dalam proses pembuatan rod dank on tiruan. Mata bionik terdiri daripada tiga elemen utama. Mula-mula satu kamera miniatur yang dipasang pada cermin mata gelap akan menghantar imej ke sebuah radio penerima yang diimplan berdekatan dengan mata pengguna. Kemudian satu signal akan dihantar pada silicon kecil dan cip platinum sekitar 4mm persegi yang terletak di retina. Elektrod yang terdapat pada cip ini akan merangsangkan sel-sel ganglion supaya maklumat visual akan dapat dihantar menerusi saraf optik terus ke otak dan pada akhirnya membentuk imej visual.

KENAPA RAWATAN DI KLINIK SWASTA LEBIH MAHAL????

Tentu anda semua selalu tertanya-tanya kenapa caj rawatan di klinik swasta terlalu mahal sedangkan di klinik kerajaan begitu murah skali. Sebenarnya, caj rawatan yamg dikenakan biasanya setimpal dengan rawatan yang diberi. Kebiasaannya dalam menentukan hal caj rawatan kos untuk bahan yamg digunakan, kos sewa klinik, kemahiran doktor adalah diambil kira. Kos untuk bahan yang digunakan termasuklah pada kos bahan rawatan, kos bahan digunakan untuk memastikan semua barang bebas daripada kuman dan juga cecair pembunuh kuman. Harga sewa klinik juga sememangnya agak mahal berbanding di Bandar. Harga rawatan di Bangsar, Damansara agak mahal berbanding di Cheras, Kajang dan sebagainya. Selain itu, kemahiran doktor juga menentukan kos rawatan. Ini kerana, doctor yang banyak pengalaman dan mempunyai banyak kemahiran biasanya meletakkan caj yang agak tinggi setimpal dengan rawatan yang diberi.

Oleh kerana beban yang berat inilah maka kerajaan mengalu-alukan penubuhan hospital swasta atau persendirian. Tidak syak lagi hospital swata dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dan tekanan bilangan penduduk yang lebih ramai yang begitu mengambil berat tentang kesihatan. Sekarang ini bagi mereka yang berada, rawatan perubatan boleh didapati dari hospital Kerajaan. Dengan masyarakat menjadi lebih “affluent” pesakit sanggup membuat bayaran yang tinggi. Walaupun daripada satu sudut, bayaran tinggi menyebabkan ramai yang berpendapatan sederhana tidak mampu tetapi pendapatan hospital swasta meningkat sehingga mengadakan alat-alat yang terkini dan canggih.

KESIMPULAN

Penyakit yang tidak dapat diubati pada zaman dahulu sudah boleh diubati dengan teknologi yang ada sekarang. Perkembangan yang pesat dalam teknologi perubatan juga memberi peluang yang baik dalam menjana ekonomi negara. Dunia perubatan banyak mengalami revolosi yang dengan penciptaan teknologi baru yang serba canggih, ia juga membawa pelbagai manfaat dalam menangani cabaran dalam menghadapi pelbagai halangan rawatan penyakit. Dengan inovasi dan revolusi yang tercetus dalam bidang perubatan yang lahir daripada integrasi teknologi moden diharapkan dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada semua pihak, bermula daripada doktor, pesakit, agama dan negara.
Kesihatan dan perubatan adalah bidang yang penting di dalam dunia sains perubatan. Walaupun pada zaman sekarang kita mempunyai teknologi perubatan yang canggih dan terkini, masyarakat khususnya disarankan agar menjaga kesihatan diri dari pelbagai aspek kesihatan.
www.karyanet.com.my/knetbeta/ebook/.../p_Amalan_Hidup_Sihat

1 comment:

  1. penduduk luar bandar amat memerlukan teknologi

    ReplyDelete