CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, September 3, 2009

BAHASA


PENGENALAN


Pengaruh ICT yang menular dalam kehidupan moden hari ini jelas telah berjaya merubah paradiqma sosiobudaya dan bahasa contohnya bahasa komunikasi. Penjajahan budaya hidup Barat dalam aspek pakaian, makanan, minuman, bahasa, tingkahlaku, hiburan dan lain-lain telah menukar jati diri manusia. Pakaian tradisonal setiap kaum dan bangsa hanya menjadi pakaian rasmi acara atau perayaan. Ia tidak lagi menjadi pakaian harian yang dibanggakan. Makanan seperti kueh tradisional bertukar dengan makanan impot dengan pelbagai jenama terkenal di dunia. Begitu juga dengan bahasa iaitu Bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa rasmi kita di Malaysia, namun ia tidak lagi digunakan dengan baik dan secara meluas.

BAHASA MELAYU DLM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT

Sejarah telah membuktikan Bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca (bahasa perantaraan) bagi daerah-daerah kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di kepulauan Melayu dan orang-orang mendatang seperti pedagang-pedagang dan pengembara-pengembara dari Eropah, Asia Tengah, Cina dan India.

Pada amnya proses evolusi Bahasa Melayu berkembang dan maju selaras dengan taraf perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat bahasanya melalui peperangan, perkahwinan, perdagangan, pentadbiran, persuratan, keilmuan dan kebudayaan. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah berkembang dari status Bahasa Melayu Purba menjadi Bahasa Melayu Kuno dan seterusnya ke Bahasa Melayu Moden setelah melalui beberapa penyerapan dan penyebatian daripada bahasa-bahasa Sanskrit, Arab, Cina, Belanda, Portugis dan Inggeris. Dalam perkembangan era globalisasi dunia hari ini yang telah dipercepatkan oleh perkembangan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT), meneruskan proses evolusi Bahasa Melayu ke peringkat maya yang akan memberi cabaran-cabaran baru kepada masyarakat bahasanya termasuk di negara ini untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain.


BAHASA MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Fenomena ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan Bahasa Melayu di rantau Nusantara ini.

Penekanan terhadap ICT di era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan Bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan Bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan Bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah pengiat-pengiat Bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan Bahasa Melayu?

Sebagai satu pandangan umum, masyarakt Bahasa Melayu perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing khususnya Bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa Bahasa Melayu masih lagi ‘muda’ dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding dengan Bahasa Inggeris. Usaha supaya Bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh Bahasa Inggeris.

PPSMI
Adalah menjadi visi para pejuang agar bahasa kebangsaan kita menjadi wahana pembangunan fikiran yang saintifik dan pembentukan emosi serta rohani yang mulia dan patriotik di kalangan rakyat pelbagai kaum dan budaya. Kepada pemimpin UMNO terutamanya diberikan kepercayaan besar untuk menjadi pemelihara atau custodian bagi kesejahteraan martabat dan kemajuan bahasa. Malangnya setelah 47 tahun kita menikmati kemerdekaan dan mencapai kemajuan ekonomi serta kebendaan, bahasa itu dianggap tidak penting lagi dan dengan gopoh serta tergesa-gesa ditolak ke tepi dalam sistem pendidikan negara oleh kerajaan.Pihak kerajaan, terutama Kementerian Pelajaran, tidak memberi alasan-alasan yang kuat, rationale yang meyakinkan di sebalik dasar PPSMI, dan malah dari waktu ke waktu mengeluarkan premis atau andaian hujahan yang berubah-ubah yang sekaliannya menandakan tidak ada pemikiran yang mendalam, jelas dan teliti untuk mengganti bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik yang telah diamalkan sejak 1971, dan telah berjaya melahirkan jutaan graduan, profesional dan ilmuwan. Apa yang selalu didengar ialah alasan untuk memperkuat penguasaan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar bagi kepentingan ilmu pengetahuan, kerjaya dan keupayaan negara untuk bersaing dalam zaman global. Tidak ada mana-mana pihak yang menentang tujuan dan usaha ke arah ini, tetapi jangan sampai meminggirkan kedudukan dan fungsi penting bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan menghalang perkembangannya menjadi bahasa ilmu moden pada masa akan datang. Penafian bahasa seperti ini boleh ditafsirkan sebagai melakukan diskriminasi songsang (reverse discrimination) dan pembunuhan bahasa (linguicide) bukan sahaja terhadap bahasa kebangsaan negara, tetapi juga terhadap tradisi dan tamadun orang Melayu yang telah berzaman-zaman lamanya berkembang melalui bahasa Melayu. Malahan agama Islam pun berkembang hebat di Nusantara melalui dakwah, khutbah, tarbiah serta kitab-kitab yang menggunakan bahasa Melayu sehingga hari ini. Apakah hanya dengan cara yang ada sekarang, iaitu melalui PPSMI, dan tidak ada cara lain lagi yang mampu difikirkan untuk mencapai tujuan memaju dan meningkatkan daya saing Malaysia?
Adalah sangat mendukacitakan apabila pihak kementerian tidak memberi layanan wajar dan mesra terhadap pelbagai pendapat, kritikan dan kajian yang dikemukakan seolah-olah pihak yang memberi pandangan yang kontra ini tidak bertujuan jujur dan berfikiran munasabah. Hanya pada penghujung 2008 baru diadakan Persidangan Meja Bulat yang pula mengandungi banyak tanda tanya tentang cara pengendalian dan rumusan keputusannya. Malahan ada usaha-usaha untuk mengimbangi atau melawan pandangan yang menentang PPSMI dengan mengatur tindakan-tindakan daripada kelompok-kelompok tertentu seolah-olah ini suatu permainan politik, bukan suatu persoalan pendidikan dan kebudayaan yang dasar. Kesan daripada keadaan yang seperti ini ialah, pada pandangan penulis dan ilmuwan: kerajaan tidak sensitif kepada suara ikhlas rakyat, dan mahu terus menunjukkan kekuasaan serta ketegasannya dalam apa saja yang telah diputuskan. Tidaklah jelas apakah sikap pendirian yang seperti ini adalah kerana pihak-pihak tertentu tidak diberi pandangan yang jujur oleh pegawai-pegawai dalam kementerian atau diberikan maklumat yang salah oleh penasihat-penasihatnya.Walau apa pun sebabnya sangatlah merugikan masyarakat apabila tidak ada kerjasama yang akrab, malahan kecurigaan serta pertentangan, antara pihak pemimpin politik kerajaan dengan budayawan serta ilmuwan, pada saat negara kita harus menjadi stabil dan kompetitif dalam kemelut politik dalaman, dan ketidaktentuan ekonomi serta kewangan dunia hari ini.

ISU DAN CABARAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DI ERA ICT

Penggunaan Bahasa Melayu di dalam era ICT yang pastinya akan melalui pelbagai isu dan cabaran yang perlu diberi perhatian dan penelitian untuk kepentingan masyarakat bahasanya. Umumnya, antara isu dan cabaran adalah seperti berikut :

KEWUJUDAN BAHASA MELAYU DALAM KONTEKS K-EKONOMI

Perkembangan yang pesat dalam ICT telah membawa perubahan-perubahan yang pantas dalam mencorakkan bentuk perniagaan, struktur masyarakat dan persaingan yang sengit dalam pasaran antarabangsa. Perubahan-perubahan yang pantas ini telah mewujudkan ekonomi baru dunia yang dikenali sebagai K-ekonomi atau pun ekonomi berasaskan pengetahuan. Di dalam konteks ini, pengetahuan merupakan nadi kepada segala bentuk perlakuan dan pemikiran manusia dalam bidang ekonomi. Kewujudan bahasa merupakan kepentingan dalam aspek pengetahuan kerana ia sumber penting dalam berkomunikasi. Sehubungan dengan itu, seharusnya ICT menjadi saluran penggunaan Bahasa Melayu untuk kesinambungan status sejarahnya sebagai bahasa lingua franca dalam cabaran ICT. Bahasa Melayu perlu cukup kukuh dan mantap untuk membolehkan ianya berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan dan seiringan dengan bahasa-bahasa moden lain seperti Bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin, Perancis, Arab dan Jepun.

DOMINASI BAHASA UTAMA DUNIA DI PERINGKAT MAYA

Perkembangan ICT merupakan saluran kepada ‘penjajahan’ bahasa di peringkat maya oleh bahasa yang mendominasi penggunaannya di peringkat antarabangsa seperti Bahasa Inggeris. Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu telah berjaya menempuh beberapa zaman yang mencabar kewibawaannya dalam persaingan penggunaan bahasanya dengan bahasa-bahasa yang lain. Umpamanya, kesan dari penjajahan negara-negara Barat di rantau kepulauan Melayu oleh Protugis, British, Belanda dan Sepanyol telah memberi kesan yang mendalam kepada perkembangan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat bahasanya kerana perluasan penggunaan bahasa kedua dalam kehidupan seharian mereka. Namun di atas kekuatan semangat nasionalisme dan kesedaran kemerdekaaan di kalangan masyarakat bahasanya membolehkan bahasa Melayu terus dipertahankan dan mengekalkan martabatnya di arena antarabangsa. Bahasa Melayu juga telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan seperti di negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Malah di beberapa daerah di Thailand Selatan dan Filipina Selatan masih terdapat masyarakat yang menggunakan Bahasa Melayu. Walaupun kata-katanya diungkapkan dalam bunyi, tatabahasa, nahu dan ungkapan yang berbeza serta dibatasi oleh sempadan antarabangsa tetapi ia tetap dan masih dikatakan Bahasa Melayu kerana asal-usulnya ialah dari Bangsa Melayu yang serumpun.

KEMAMPUAN MENJANA IDEA BARU, KREATIVITI DAN INOVASI DALAM MEMANTAPKAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Masyarakat Bahasa Melayu perlu menerima hakikat perkembangan ICT adalah berhubung kait secara langsung dengan kemampuan menjana idea baru, kreativiti dan inovasi dalam memantapkan penggunaan Bahasa Melayu. Ketrampilan Bahasa Melayu di era siber adalah bergantung kepada sejauhmana masyarakat bahasanya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan persekitarannya. Masyarakat Bahasa Melayu perlu menukar mindset kepada penggunaan Bahasa Melayu yang didorongi oleh pengetahuan supaya memperolehi manfaat daripada penggunaan ICT ekoran daripada hasil perkembangan global. Sehubungan itu, strategi perlu dirancang dengan teratur untuk memantapkan kekuatan dalaman bahasanya yang telah terbina sekian lama. Pengalaman lalu membuktikan keupayaan masyarakat berbahasa Melayu yang didokongi oleh bangsa Melayu telah dapat mempertahankan dan mendaulatkan Bahasa Melayu dengan cekap dan berkesan di arena antarabangsa terutama di rantau Nusantara ini. Namun, pengalaman masa lepas belum pasti menjamin kejayaan masa depan. Senario abad ke 21 jauh lebih mencabar dan penuh ketidaktentuan serta amat berbeza dengan perubahan yang dialami sebelumnya. Ini ditambahi lagi perkembangan pesat ICT dan penggunaanya di dalam masyarakat dunia.

PERSEPSI KEDUDUKAN BAHASA MELAYU TERHADAP PENGUASAAN BAHASA INGGERIS

Penekanan terhadap K-ekonomi yang dipercepatkan dengan kepesatan perkembangan ICT telah menjadikan penggunaan bahasa Inggeris semakin unggul sebagai bahasa pengantar masyarakat dunia selaras dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya sebelum ini sebagai bahasa antarabangsa. Perkembangan Bahasa Inggeris ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza-beza di kalangan pemimpin-pemimpin, cendiakawan-cendiakawan, budayawan-budayawan dan sasterawan-sasterawan di seluruh dunia berkaitan dengan kesannya terhadap kedudukan bahasa-bahasa lain yang melambangkan identiti sesuatu kaum atau bangsa.

Peluasan dan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa tidak dapat dielakkan. Masyarakat dunia secara langsung telah dipengaruhi oleh peluasan Bahasa Inggeris sebagai persediaan untuk menghadapi K-ekonomi. Peluasan bahasa Inggeris ini didorongi oleh keperluan memperolehi maklumat dan pembelajaran di peringkat maya melalui kemajuan ICT. Fenomena ini tidak bermaksud untuk menidakkan kepentingan Bahasa Melayu tetapi meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa alat berkomunikasi dalam teknologi maklumat, internet dan dagangan antarabangsa. Manakala, Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan jati diri masyarakat bahasanya. Namun tidak mustahil dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak akan menjadikan Bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam penggunaannya di dalam ICT. Sehubungan dengan itu, penggunaan Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh masyarakat bahasanya mempunyai peranan yang berbeza dan tidak seharusnya menimbulkan konflik jika masyarakat bahasanya jelas tentang peranan penguasaan dan penggunaan kedua-dua bahasa tersebut.

MEMPERKAYAKAN BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu bersifat keterbukaan dan berkembang dari semasa ke semasa. Sejak dalam penjajahan Portugis, Inggeris dan Belanda, Bahasa Melayu telah berkembang menyeresapi istilah-istilah asing dan lantas memperkayakan Bahasa Melayu. Istilah-istilah seperti lampu, almari, bendera, buku, bola dan meja merupakan contoh-contoh istilah terbitan daripada bahasa-bahasa asing. Malah, sebelum penjajahan, Bahasa Melayu juga telah meminjam dari bahasa-bahasa Sanskrit dan Arab seperti istilah sastera, bulan, akhirat dan zahir.

Pengembangan Bahasa Melayu akan lebih ketara apabila kita memasuki zaman baru seperti di era ICT. Seringkali ada istilah-istilah baru asing yang diterbitkan dan diperkenalkan. Justeru itu, untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama, Bahasa Melayu harus berkembang dalam menerbitkan istilah-istilah baru bagi menterjemaah istilah-istilah baru yang asing. Istilah-istilah baru seperti tetikus, perisian, perkakasan, siber, laman, jaringan, internet dan batang bedek telah berjaya diterbitkan dan digunapakai. Walaupun begitu, keterbukaan sifat Bahasa Melayu seharusnya sentiasa dipantau perkembangannya dengan ketat agar tiada penyelewengan dalam memelayukan istilah-istilah asing.

MEMASYARAKATKAN BAHASA MELAYU MELALUI RUANG SIBER

Bahasa Melayu sebagai identiti buat masyarakat di beberapa negara di rantau Asia Tenggara. Bangsa Melayu di Singapura mempunyai ‘Bahasa Melayu Singapura’ dan bangsa Melayu di Indonesia mempunyai ‘Bahasa Indonesia’, dan Malaysia berbangga dengan ‘Bahasa Malaysia’. Keberkesanan untuk melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu di dalam era ICT terletak di bahu masyarakat bahasanya. Inilah masanya untuk masyarakat bahasa Melayu menempa nama di persada antarabangsa dengan menggunakan dunia siber yang menghubungkan di seluruh pelusuk dunia.

Dalam merelisasikan penggunaan bahasa Melayu di peringkat maya bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah dan remeh temeh. Banyak kegiatan ilmiah dan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan agar perkembangan penggunaan Bahasa Melayu dianggap ‘hidup’ dan ‘tidak mati’ oleh masyarakat dunia. Kegiatan-kegiatan yang telah dan akan dilaksanakan dengan kemudahan ICT seharusnya mempunyai matlamat yang sejajar dengan arus pemodenan dan persejagatan masyarakat dunia agar ia dapat memaparkan bahawa semua kegiatan yang diadakan adalah benar-benar menggunakan dan menjiwai sepenuhnya Bahasa Melayu. Usaha orang perseorangan dan syarikat-syarikat masyarakat Melayu dalam men’dotcom’kan bahasa Melayu ke dalam alam internet perlu diteruskan dan diberikan sokongan sewajarnya oleh masyarakat bahasanya. Membawa Bahasa Melayu dalam konteks masyarakat Melayu di peringkat maya adalah satu usaha yang perlu dilakukan dengan tekad dan azam yang kuat. Dengan men’dotcom’kan Bahasa Melayu di dalam gerbang internet akan menyediakan ruang untuk pelunsur menggunakan Bahasa Melayu di internet dan seterusnya meningkatkan imej Bahasa Melayu seiringan dengan bahasa-bahasa seperti Bahasa Inggeris, Peranchis, Jepun dan Cina. Ia suatu nilai yang penting untuk menangkis segala tanggapan bahawa Bahasa Melayu tidak mampu bersaing atau tiada tempat di persada dunia.

PESEJAGATAN DASAR BAHASA MELAYU DI PERINGKAT MAYA

Masyarakat di beberapa negara yang masih mendaulatkan Bahasa Melayu sekarang ini sedang mempelajari bahasa kedua ataupun bahasa ketiga adalah kerana keperluan ICT dagangan. Namun penguasaan bahasa asing ini tidak seharusnya melunturkan kepentingan Bahasa Melayu itu sendiri. Masyarakat Bahasa Melayu mesti mengguna, mengukuh dan memperluaskan Bahasa Melayu di peringkat maya untuk tujuan kenegaraan dan membezakan jati diri masyarakat Bahasa Melayu dengan masyarakat-masyarakat bahasa yang lain. Bahasa asing yang diketahui hanya digunakan sebaiknya apabila berdagang dan berkomunikasi dengan masyarakat bahasa lain.

Bagi mencapai hasrat tersebut, peranan dan tanggungjawab negara-negara yang masyarakatnya masih berbahasa Melayu adalah membina empayar dan mengembangkan sastera, budaya dan penerbitan dalam Bahasa Melayu di peringkat maya. Persefahaman dan kerjasama dalam perkembangan di peringkat maya ini perlu menggunakan teknologi terkini seperti ICT untuk dimanupulasikan sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi dalam memperkembangkan Bahasa Melayu. Munsyi Abdullah telah membuktikan bagaimana perkembangan Bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan tindakan proaktif beliau terhadap penggunaan teknologi percetakan pada zamannya. Oleh itu, dasar persejagatan Bahasa Melayu di peringkat maya juga dapat direalisasikan dalam era ICT dengan mengaplikasikan semangat nasionalisme, pengetahuan dan teknologi terkini.

PERUBAHAN SISTEM PENDIDIKAN

Institusi pendidikan adalah medium penting untuk mengukuhkan lagi nilai dan keperluan Bahasa Melayu di kalangan golongan generasi muda bangsa Melayu melalui sistem pendidikan yang mengambilkira penyerapan dan penyebatian kemajuan dan perkembangan ICT. Misalnya, generasi muda akan mempunyai peluang untuk menghalusi Bahasa Melayu ke dalam jiwa mereka melalui kegiatan dan aktiviti bercorak Bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi maya yang diasaskan oleh kemudahan internet. Melihat kepada dominasi bahasa Inggeris di internet adalah disedari bahasa ini merupakan pencetus teknologi dan ilmu pengetahuan pelbagai bidang yang diinginkan oleh masyarakat dunia. Dalam hal ini, masyarakat Bahasa Melayu mestilah tegas menentukan kedudukan Bahasa Melayu dan peranan bahasa yang diperlajari dalam sistem pendidikan mereka. Jika bahasa asing yang diperlajari memerlukan makmal dan program khusus dalam menguasainya maka tidak perlu diketepikan juga kepentingan penyediaan prasarana dan program sedemikan kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.

Di peringkat dunia, penutur Bahasa Melayu adalah seramai lebih 250 juta orang. Ini meletakkan kedudukan status Bahasa Melayu ditempat keempat teramai penuturnya selepas Bahasa Mandarin, Sepanyol dan Inggeris. Jadi tidaklah mustahil Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa komunikasi dan dipelajari di seluruh dunia melalui teknologi maya jika masyarakat bahasanya mengambil kesempatan dari pembentukan dunia sejagat tanpa sempadan dan sekatan yang menjadi fenomena sekarang ini.

EVOLUSI BAHASA MELAYU DALAM PERKEMBANGAN ICT

Proses evolusi Bahasa Melayu turut berlaku dalam perkembangan era ICT. Penggunaan Bahasa Melayu di internet semakin meluas di mana semakin ramai pengguna-pengguna Bahasa Melayu mengeksploitasi kemudahan unsur komunikasi tersebut. Ini dibukitkan dengan terdapatnya banyak laman-laman dan penggelungsur berbahasa Melayu di internet yang dibentuk dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Perkembangan ini juga diiringi dengan penyediaan kemudahan e-mail dan chat yang secara tidak langsung membantu melestarikan Bahasa Melayu. Penerimaan pakai internet ini telah membawa proses evolusi Bahasa Melayu ke peringkat maya.

Sebagai contoh kesan dari penggunaan ruang siber yang serba mudah dan serba luas telah menghasilkan istilah-istilah baru yang boleh digelarkan sebagai ‘Bahasa Melayu Internet’. Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana).

Pada pragmatiknya, situasi ini merupakan satu percubaan yang menarik dalam evolusi Bahasa Melayu. Namun demikian manupulasi bahasa seumpama ini jika tidak dibendung mampu memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri. Amalan seperti ini akan menghasilkan ayat-ayat yang tidak gramatik kerana menyeleweng daripada hukum-hukum tatabahasa. Timbul juga perkembangan pemelatan kata-kata, kata-kata bersifat irama, istilah spesifik dan penggunaan simbol-simbol dengan tujuan untuk memeriahkan suasana perbualan, kemesraan dan peringkasan teks dalam berkomunikasi di peringkat maya.

Walau bagaimanapun perkembangan seperti ini perlu dilihat sebagai satu percaturan yang menarik dan sihat yang perlu dimantau supaya tidak berlaku penyelewengan bahasa dari alam maya ke alam realiti. Pengguna-pengguna internet seharusnya mewujudkan persefahaman untuk memastikan Bahasa Melayu tetap terpelihara. Sebagai langkah awal, Bahasa Melayu internet sebaiknya disimpan sahaja di dalam internet agar kemurnian dan kedinamikan Bahasa Melayu lebih terserlah dan kekal relevan serta biarlah ia berkembang mengikut tapak penggunaannya.

PENCEMARAN BAHASA

Dewasa ini, isu pencemaran bahasa amat hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak terutamanya bagi mereka yang sangat mencintai bahasa. Pencemaran bahasa adalah satu fenomena yang telah lama wujud akibat daripada penggunaan teknologi seperti Sistem Pesanan Ringkas (SMS) melalui penggunaan telefon bimbit dan chatting di laman maya seperti internet. Kebanjiran dan ketaksuban golongan belia dan masyarakat pada penggunaan teknologi kini semakin meluas seiring dengan perkembangan teknologi global dan negara kita iaitu Malaysia turut terkena tempiasnya juga tidak boleh lari daripada kesan baik mahupun buruk akibat lonjakan paradigma tersebut.

BAHASA DALAM PENDIDIKAN

Dengan perkembangan teknologi, bahasa dapat diperkukuhkan lagi. Sebagai contohnya, boleh dilihat dalam sistem pendidikan. Teknologi dalam pendidikan telah didefinisikan oleh pelbagai badan pendidikan dunia dalam pelbagai perspektif serta konteks keperluan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Majlis Teknologi Pendidikan, United Kingdom mendefinisikan teknologi dalam pendidikan sebagai suatu pembentukan, penerapan, dan penilaian sistem, teknik dan bantuan untuk memperbaiki proses pembelajaran. (CET, 1979)

Jika suatu ketika dahulu guru lebih banyak bergantung kepada bahan yang diambil daripada buku teks, akhbar, majalah, buku rujukan dan pelbagai bahan bercetak untuk membantu mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran tetapi kini teknologi telah merubah teknik pengajaran guru di bilik darjah. Ini kerana pelajar hari ini bukan sahaja telah banyak didedahkan dengan pelbagai teknologi moden yang serba canggih malah banyak juga yang begitu bergantung kepada teknologi moden tersebut dalam kehidupan harian mereka.

Guru pendidikan literasi hari ini amat beruntung kerana mendapat banyak peluang dan pendedahan mengenai teknologi moden ini, berbanding suatu ketika dahulu kita hanya dapat melihat penggunaan teknologi moden di dalam filem sains fiksyen semata-mata. Sekiranya objektif pengajaran bertujuan memperkukuhkan penguasaan bahasa, maka teknologi yang diperlukan tentulah berkaitan dengan bahan audio kerana bahan teknologi ini boleh membantu memperkukuhkan pendengaran dan sebutan.

Banyak kajian menunjukkan bahawa bahan audio dapat meningkatkan kemahiran lisan pelajar berbanding teknik pengajaran tradisional. (Mahzan Arshad, 2003) Untuk menggunakan bahan teknologi dengan berkesan, guru perlu menyesuaikan bahan dengan isi kandungan pengajaran dan juga domain kemahiran literasi yang hendak diperkukuhkan dalam sesuatu sesi pengajaran Bahasa Melayu. Guru harus mempertimbangkan adakah kandungan pengajaran dan sesuatu domain kemahiran itu sesuai dengan bahan yang hendak digunakan. Sekiranya guru ingin meningkatkan kaedah efektif contohnya, maka bahan teknologi yang dapat meningkatkan emosi dan bahan sastera amat sesuai digunakan.

Memang banyak teknologi lama dan terkini dalam kehidupan kita hari ini. Sejauh mana kita dapat menggunakan teknologi tersebut dengan berfaedah dalam membantu proses pembelajaran pelajar dalam kemahiran literasi arnat penting dipertimbangkan oleh para pendidik. Komputer adalah teknologi elektronik yang mempunyai banyak keistimewaan sarna ada dalam kehidupan harian atau pun dalam bidang pendidikan. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, komputer boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan teknik. Sekiranya komputer digunakan, sebarang masalah yang rumit dalam penyampaian dapat diselesaikan dengan mudah. (Heinich, 1996)

Dengan kata yang lain, kehadiran komputer sebenarnya telah memperkayakan bahasa. Kehadiran komputer menjadi penyebab utama banyak kemajuan telah dapat dicapai dalarn usaha meningkatkan mutu dan keupayaan pelajar untuk menguasai pelbagai kemahiran literasi dalam bidang pendidikan literasi bahasa. Komputer antaranya boleh digunakan untuk membantu pelajar mempercepatkan penguasaan asas dalam kemahiran membaca dan menulis, membantu guru menerapkan kemahiran membuat rujukan dan penyelidikan di kalangan pelajar literasi bahasa dengan secara sistematik dan terancang. Hal ini dapat membantu proses pengajaran akan berjalan dengan lebih lancar,

Ringkasnya, komputer telah membawa banyak perubahan dalam senario kelas literasi bahasa yang dahulunya hanya terkongkong dengan bahan bercetak. kepada sebuah kelas literasi yang menggunakan teknologi yang selaras dengan perkembangan terkini. Dewan Bahasa dan Pustaka (1998) telah membina program pembetulan tatabahasa dan ejaan dalam Bahasa Melayu. Edisi pertama telah diterbitkan pada tahun 1998 dan kini edisi terbaru 2004 telah siap dibina. Walaupun program ini tidak mencukupi untuk mengajar pelajar menguasai tatabahasa dan ejaan Bahasa Melayu, namun program tersebut boleh membantu guru mempelbagaikan teknik pengajaran di dalam bilik darjah. Malah, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan MIMOS, kini perisian pejabat Microsoft Windows terdapat dalam Bahasa Melayu yang boleh dimuat turun secara percuma.

Bagaimanapun, teknologi boleh digunakan dalam proses pengajaran dalam pembelajaran literasi Bahasa Melayu. Pelbagai aplikasi teknologi boleh digunakan secara meluas dalam pelbagai aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran literasi bahasa. Pengetahuan mengenai bahan teknologi dan cara penggunaannya perlu dikuasai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan terkini selain tidak ketinggalan dalam kemahiran teknologi yang setiap masa semakin maju.

PECEMARAN BAHASA DALAM PENDIDIKAN

Kesan buruk akibat daripadanya ialah wujudnya pencemaran bahasa dalam penggunaan harian masyarakat kita. Penggunaan tersebut juga tidak hanya pada bahasa basahan malah turut terbawa-bawa penggunaannya dalam laras dan gaya bahasa rasmi. Masyarakat khususnya belia-belia dan pelajar-pelajar yang masih bersekolah akan sedikit sebanyak memberikan impak kepada dunia pembelajaran mereka. Misalnya, ada pelajar yang turut menggunakan bahasa singkatan, simbol, istilah dan sebagainya yang tidak dibenarkan syaratnya dalam tahap pembelajaran mereka ketika menjawab dan menulis esei dalam peperiksaan. Jadi, ini akan menjejaskan permarkahan dan penilaian guru mereka kepada prestasi yang ada pada mereka. Ianya akan menganggu tumpuan mereka kerana mereka telah menjadi tidak sedar dengan apa yang mereka lakukan kerana mereka sudah terbiasa dengan tindakan tersebut dalam hidupan harian mereka.

KEROSAKAN BAHASA

Seperkara yang menarik dalam isu ICT ialah berlakunya tanpa disedari iaitu kerosakan bahasa. Bahasa sms dan chatting memerlukan tulisan yang ringkas dan mudah. Kesannya terbawa sehingga banyak pihak menerima pakai dalam komunikasi harian mereka terutama di kalangan anak remaja. Misalnya perkataan Assalamualaikum sudah diringkaskan dengan berbagai cara seperti Asm.,Akum, Aslam dan Salam mulai tersebar penggunaannya. Perkataan ini jelas tidak tepat dari susunan ejaan, kata-kata dan maknanya sendiri. Ianya jelas merosakkan penggunaan istilah, perkataan dan bahasa itu sendiri.

Wujud juga bahasa rojak akibat daripada perkembangan teknologi. Bahasa Rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekaligus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Ini secara tidak langsung ia boleh mempengaruhi komunikasi secara online apabila pengguna mahu menggunakan bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung antara satu sama lain. Bahasa yang tercemar itu boleh mempengaruhi orang lain terutama sekali orang bukan melayu bagitu juga kanak-kanak sekolah dari semua kaum yang terdedah kepada bahasa yang buruk itu sehinggakan ada kemungkinan mereka akan meniru bahasa yang buruk dan menganggapnya sebagai Bahasa Melayu yang betul. Contohnya, “cun gilos” merujuk kepada “cantik betul”. Jika kita lihat pada situasi sekeliling, apa yang paling ketara penggunaan bahasa rojak atau bahasa yang dicampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sudah menjadi kelaziman bagi kebanyakan kita hari ini. Sedar atau tidak, sebahagian besar dalam kalangan kita menjadikan ayat rojak ini sebagai suatu kebiasaan sehari-hari tanpa merasakan ia suatu yang serius khususnya bila ia `menular’ menjadi bahasa baru dalam kalangan generasi muda.

BAHASA ROJAK

Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi mencerminkan diri kita. Gaya kita berbahasa bergantung rapat dengan bagaimana kita melihat diri kita sendiri, dan bagaimana kita membaca atau mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Inilah yang dikatakan konsep diri kita. Apabila kita melihat diri kita sebagai seorang terpelajar, maka dengan sendirinya kita mengawal bahasa yang kita gunakan bagi mencerminkan citra diri kita. Apabila kita kurang memahami iklim komunikasi di sekeliling kita, maka kita tidak akan memberi pengiktirafan kepada faktor-faktor di sekeliling kita tersebut.
Namun, apabila menggunakan bahasa Melayu, kita mungkin mendapati ada penutur bahasa Melayu yang tidak menyedari hakikat ini. Kita mendengar penutur Bahasa Melayu menggunakan bahasa yang rendah. Bahasanya bercampur aduk, iaitu Bahasa Melayu dengan Inggeris. Percampuran itu dilakukan pada setiap peringkat penguasaan bahasa, sebutan, ejaan, imbuhan, frasa, ayat, kosa kata, makna dan peribahasa. Lakuan bahasa begini sering berlaku di kalangan penutur asli Bahasa Melayu. Fenomena begini dapat dianalisis pada peringkat lakuan luaran, yakni daripada yang dapat didengar dan bibaca. Ini dilakukan dalam bentuk apa yang dicampurkan, di mana dilakukan dan apa sebabnya. Pun begitu kita perlu juga mengetahui proses psikologi yang berlaku dalam diri penutur yang mempamerkan lakuan bahasa begini. Setiap lakuan yang kita pamerkan adalah didahului oleh kesimpulan yang dibuat terhadap iklim komunikasi yang terlibat. Artikel ini akan melihat aspek ini.

Lakuan bahasa begini tidak dilakukan oleh bukan penutur bahasa asli, yakni bukan penutur Bahasa Melayu. Penutur yang bukan penutur asli Bahasa Melayu belajar bahasa Melayu secara bahasa kedua secara formal. Oleh sebab itu, bahasa yang mereka tuturkan adalah mematuhi aturan tatabahasa. Tetapi, penutur asli Bahasa Melayu sering tidak mematuhi aturan tatabahasa yang lengkap.

Fenomena ini ada kaitan dengan konsep diri penutur Bahasa Melayu. Apakah agaknya konsep diri penutur Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu kacukan ini? Kemungkinannya penutur asli Bahasa Melayu ini tidak pun sedar tentang konsep diri yang mereka pamerkan.

KESIMPULAN

Masyarakat Bahasa Melayu tidak boleh mempertahankan Bahasa Melayu hanya dengan menguasai bahasa itu. Di samping strategik yang teratur, masyarakat Bahasa Melayu perlu menguasai bahasa-bahasa lain dan tahu cara menyebarkan maklumat di dalam era ICT. Dengan mempelajari usaha-usaha dari tokoh-tokoh bidang ICT seperti Bill Gate dan laman-laman perintis seperti Yahoo, Hotmail dan MSN adalah perlu usahawan-usahawan dari masyarakat Bahasa Melayu memasuki peringkat ICT bukan sahaja persaingan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei malah di peringkat global.

Perkembangan globalisasi dan liberasasi hendaklah dilihat sebagai satu peluang masyarakat berbahasa Melayu untuk memastikan Bahasa Melayu terus kekal disanjung oleh bangsa Melayu serta masyarakat bukan Melayu dengan memanupulasikan ICT sepenuhnya. Oleh itu, segenap sudut dan ruang yang sempit perlu dilebarkan agar Bahasa Melayu mempunyai nilai yang simbolik dan tidak luput dek hujan, tidak lekang dek panas. Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari jalan dalam menambah nilai bahasa di pasaran dunia. Ini merupakan satu tugas berat bagi pengiat bahasa dan masyarakat Melayu khususnya untuk terus berusaha mencari jalan, kaedah serta hipotesis meningkatkan nilai Bahasa Melayu di persada era ICT. Bagaimanapun, nilai Bahasa Melayu tidak boleh dijual beli dalam pasaran yang bersifat sejagat. Nilai dan harga bahasa Melayu bergantung sejauh mana masyarakat Melayu di Nusantara membuat ‘pelaburan’ sewajarnya di pasaran dunia globalisasi yang sedang mengagungkan Bahasa Inggeris sebagai ‘pelabur’ utama.

Bahasa Melayu di dalam era ICT perlu dilihat sebagi satu keperluan dan bekalan yang penting dalam masyarakat bahasanya untuk menghasilkan satu identiti bangsa yang tulen dan sejati. Pada masa yang sama, biarlah Bahasa Melayu dapat memupuk jati diri masyarakat bahasanya lebih-lebih lagi dalam arus pemodenan dan penyejagatan dunia. Jangan biarkan Bahasa Melayu menyerantau di raung siber tanpa dipedulikan oleh masyarakat bahasanya sendiri dan akhirnya pupus di mata dunia.

BIBLIOGRAFI

Bjerstedt, A. (1972). Educational technology. New York: Wiley.
CET. (1979). The contribution of educational technology to higher education in the
1990s. London: Council of Educational Technology.
Christensen, L. B. (1997). Experimental methodology (Cet. 7). Boston: Allyn.
Cowen, 1. (1980). Is system curriculum design always feasible? Programmed Learning
and Educational Technology, 17(2), 115-117.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (1998). Dewan eja 98. Kuala Lumpur: DBP.
Dowling, C. .(1999). Writing and learning with computers. Melbourne, Victoria: Acer.
http://zulkiplyharun.com/php/modules.php?name=News&file=print&sid=17

No comments:

Post a Comment